Warga emas tular rempuh farmasi berulang kali didenda RM10,000

LocalCars
21 Oct 2026 • 9:57 PM MYT
Sinar Harian
Sinar Harian

Portal berita nombor 1 di Malaysia

Image from: Warga emas tular rempuh farmasi berulang kali didenda RM10,000
Tertuduh ketika hadir di Mahkamah Tawau

TAWAU – Seorang pemandu warga emas yang tular selepas merempuh sebuah farmasi berulang kali bulan lalu didenda maksimum RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini pada Rabu selepas mengaku bersalah memandu secara tidak cermat.

Tertuduh, Chin Soon Sang, 60, membuat pengakuan itu sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Majistret Don Stiwin Malanjum.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa memandu kenderaannya tanpa kecermatan dan perhatian yang sewajarnya pada jam 3.30 petang, 29 September lalu di Lorong Bintang Shophouse 8, Tawau.

Dia didakwa mengikut Seksyen 43(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM10,000 atau penjara sehingga 12 bulan serta lesen memandu boleh diendors jika disabitkan kesalahan.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara selama empat bulan sekiranya gagal membayar denda tersebut.

Sebelum itu, Pegawai Pendakwa Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (BSPT) Tawau, Asisten Superintendan Joan Lee memohon mahkamah menjatuhkan hukuman maksimum dengan mengambil kira tahap kecuaian tertuduh, kerosakan harta benda yang berlaku serta kepentingan awam.

Menurut beliau, kejadian yang tular di media sosial itu memerlukan hukuman setimpal sebagai pengajaran kepada tertuduh dan peringatan kepada masyarakat supaya sentiasa mengawal kenderaan dengan cermat.

Pihak pendakwaan turut memohon supaya lesen memandu tertuduh diendors dengan butiran kesalahan berkenaan.

Berdasarkan fakta kes, tertuduh dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumahnya di Taman Sri Impian selepas mendapatkan rawatan di sebuah klinik di Batu 3, Jalan Apas.

Ketika cuba mengundurkan kenderaan jenis Perodua Myvi yang dipandunya, tertuduh dipercayai tersilap menekan pedal minyak sehingga menyebabkan kereta itu bergerak ke hadapan dan merempuh sebuah farmasi.

Dalam keadaan panik, tertuduh cuba mengundurkan semula kenderaannya namun terlanggar sebuah Toyota Innova yang diparkir bersebelahan.

Insiden itu menjadi tular di media sosial selepas rakaman menunjukkan kenderaan berkenaan berulang kali melanggar premis farmasi dan kenderaan terbabit sehingga mengundang pelbagai reaksi orang ramai.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved