
Kota Kinabalu: Enam warga China didenda keseluruhan RM45,000 oleh Mahkamah Majistret di sini kerana konspirasi jenayah menawarkan pelaburan dalam talian palsu.
Empat lelaki, Wang Lu, 38, Jiang Xia Bo, 32, Luo Lie, 32, dan Liu Junjie, 33, serta dua wanita, Liu Qian, 21, dan Bai Yifan, 32, mengaku bersalah terhadap pertuduhan itu.
Majistret Marilyn Kelvin menjatuhkan hukuman denda RM7,500 terhadap setiap tertuduh atau penjara enam bulan jika gagal membayar denda berkenaan.
Kesalahan itu boleh dihukum mengikut Seksyen 120B(1) Kanun Keseksaan, yang memperuntukkan hukuman penjara antara satu hingga 10 tahun, sebatan dan denda jika sabit kesalahan.
Mahkamah diberitahu bahawa kumpulan itu ditahan dalam satu operasi khas yang menyasarkan kegiatan penipuan pelaburan dalam talian di Jesselton Twin Towers.
Siasatan mendapati kumpulan berkenaan berkomplot untuk menawarkan pelaburan palsu secara dalam talian dengan menyasarkan mangsa di luar negara.
Peguam Lim Ming Zhoong mewakili Wang Lu, Jiang Xia Bo, Luo Lie dan Liu Junjie, manakala peguam Nathaniel Wong mewakili Liu Qian dan Bai Yifan.
Kedua-dua peguam memohon hukuman ringan dengan mengemukakan alasan bahawa kesemua tertuduh telah berada dalam tahanan reman selama 62 hari.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Ronnie Anthony berhujah bahawa keseriusan kesalahan itu wajar dikenakan hukuman pemenjaraan.
Beliau berkata kegiatan kumpulan berkenaan telah mencemarkan imej Malaysia dan bertentangan dengan kepentingan awam.
Beliau turut memohon supaya denda yang bersesuaian dikenakan serta meminta mahkamah merujuk kesemua tertuduh kepada Jabatan Imigresen untuk tindakan lanjut.
Mahkamah kemudian memerintahkan supaya kesemua enam tertuduh dirujuk kepada Jabatan Imigresen bagi tindakan lanjut berhubung status imigresen mereka.






