
KUALA PENYU: Seorang warga Indonesia yang menggunakan MyKad milik individu lain untuk menaiki feri di Terminal Feri Menumbok didenda RM5,000 atau penjara sembilan bulan oleh Mahkamah Majistret pada Isnin.
Majistret Zuraini Ali Musa menjatuhkan hukuman itu terhadap Andy Moh Hong Lu, 30, selepas dia mengaku bersalah atas pertuduhan berkenaan.
Andy didakwa menggunakan MyKad yang dikeluarkan kepada individu lain bernombor siri 930722-12-xxxx atas nama Edylon Gisin tanpa alasan munasabah di Kaunter Pemeriksaan Terminal Feri Menumbok kira-kira jam 3.55 petang pada 17 Mei lalu.
Kesalahan itu didakwa mengikut Peraturan 25(1)(e) Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990 yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga tiga tahun atau denda sehingga RM20,000 atau kedua-duanya sekali jika sabit kesalahan.
Mahkamah diberitahu Andy pergi ke Kaunter Pemeriksaan Terminal Feri Menumbok untuk pemeriksaan dokumen perjalanan dan mengemukakan MyKad berkenaan kepada pegawai imigresen bagi tujuan pengesahan identiti sebelum menaiki feri.
Pegawai imigresen yang mengesyaki status dokumen berkenaan kemudian meminta Andy menyatakan nombor MyKad itu namun dia gagal berbuat demikian.
Andy kemudiannya dibawa ke Pejabat Imigresen Menumbok untuk pemeriksaan identiti kali kedua sebelum mengemukakan salinan sijil kelahirannya.
Bagaimanapun Andy gagal mengemukakan sebarang dokumen pengenalan diri yang sah atau pas yang membolehkannya berada dan menetap di Malaysia sebelum ditahan kerana disyaki melakukan kesalahan mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63.
MyKad yang dikemukakan Andy kemudiannya dirujuk kepada Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) Cawangan Sipitang untuk pengesahan.
Semakan sistem dan pengesahan cap jari yang dijalankan pada 18 Mei mendapati kad pengenalan itu bukan miliknya.
Siasatan lanjut mendapati MyKad yang digunakan Andy ketika pemeriksaan imigresen itu telah dikeluarkan kepada individu lain.
Siasatan turut mendapati Andy ialah warganegara Indonesia yang memegang pasport Indonesia serta sijil kelahiran Malaysia atas nama Andy Moh Hing Lu bernombor pendaftaran 386/96 dengan status bukan warganegara.
Dalam rayuan untuk meringankan hukuman Andy yang tidak diwakili peguam memohon hukuman lebih ringan dengan alasan dia perlu menyara ibu dan adik.
Bagaimanapun Timbalan Pendakwa Raya Syarifah Nursyuhada Tuan Mamat memohon mahkamah menjatuhkan hukuman berbentuk pencegahan mengambil kira kesalahan berkenaan serius.






