Warga Indonesia Puji Sikap Pemandu Malaysia, Lorong Kecemasan Kekal Kosong Walaupun Jalan Sesak

10 Nov 2026 • 4:15 PM MYT
Siakap Keli
Siakap Keli

We’re a fast growing company with over 20 million page views per month.

Warga Indonesia Puji Sikap Pemandu Malaysia, Lorong Kecemasan Kekal Kosong Walaupun Jalan Sesak

Sikap segelintir pengguna jalan raya ketika berdepan kesesakan lalu lintas sering menjadi perhatian, lebih-lebih lagi apabila ada yang sanggup menggunakan lorong kecemasan untuk mengelakkan barisan kenderaan.

Bagaimanapun, seorang lelaki warga Indonesia berkongsi pandangan berbeza selepas memerhatikan keadaan lalu lintas di Malaysia, khususnya ketika jalan raya sesak selepas waktu Maghrib.

Menerusi satu video yang dikongsikan di media sosial, lelaki berkenaan menunjukkan keadaan sebuah jalan utama yang dipenuhi kenderaan sekitar pukul 7 hingga 7.30 malam.

Apa yang menarik perhatiannya ialah kebanyakan pemandu dilihat kekal berada di lorong masing-masing walaupun pergerakan kenderaan agak perlahan.

"Walaupun jalan sesak seperti ini, lorong kecemasan tidak pernah digunakan oleh mereka. Semuanya tetap berada di lorong masing-masing," katanya.

Warga Indonesia Puji Sikap Pemandu Malaysia

Image from: Warga Indonesia Puji Sikap Pemandu Malaysia, Lorong Kecemasan Kekal Kosong Walaupun Jalan Sesak

Dia turut menunjukkan sebuah kereta yang terpaksa berhenti di lorong kecemasan akibat kerosakan sedang dibantu oleh peronda lebuhraya yang sedang melakukan rondaan.

Menurutnya, kehadiran peronda di kawasan berkenaan sangat membantu kerana mereka kerap melakukan rondaan, khususnya di jalan utama sekitar kawasan bandar.

"Kalau di jalan raya seperti ini, mungkin dalam masa setengah jam, kereta polis boleh lalu sebanyak dua kali. Kalau ada kereta rosak, mereka akan terus berhenti dan membantu," ujarnya.

Ketika merakam kejadian itu, dia turut menunjukkan sebuah motosikal yang pada mulanya memasuki lorong kecemasan sebelum kembali ke lorong asal selepas melihat lampu amaran daripada kenderaan polis.

Berdasarkan pemerhatiannya, keadaan lalu lintas di Malaysia kelihatan lebih teratur dan menyenangkan untuk dilihat.

"Saya sendiri sudah beberapa hari perhatikan perkara ini. Kalau ada kereta rosak, biasanya kenderaan itu akan berada di tepi jalan dan pasti ada yang datang membantu," katanya.

Baca juga:

Pernah Dibantu Polis Malaysia Walaupun Berstatus Warga Asing

Bukan itu sahaja, lelaki berkenaan turut berkongsi pengalaman peribadi ketika dia bersama abangnya berhenti di tepi jalan untuk membetulkan barang yang dibawa di dalam kenderaan.

Katanya, seorang anggota polis yang melalui kawasan tersebut mengambil inisiatif untuk menghampiri mereka sebelum bertanya sama ada terdapat sebarang masalah.

Selepas dimaklumkan bahawa mereka hanya mahu memastikan barang yang dibawa berada dalam keadaan kemas dan tidak bergoyang, anggota polis berkenaan memberikan respons yang disifatkannya sebagai mesra.

"Walaupun kami orang asing, mereka tetap melayan kami dengan baik. Saya sendiri pernah mengalaminya dan memang anggota polis di sini sangat mesra," katanya.

Dia turut memuji sikap anggota polis Malaysia yang menurutnya bukan sahaja membantu rakyat tempatan, malah tidak membezakan layanan terhadap warga asing yang berdepan masalah di jalan raya.

Dalam pada itu, lelaki tersebut turut membandingkan keadaan berkenaan dengan situasi di Indonesia.

Menurutnya, penggunaan lorong kecemasan oleh sesetengah pemandu masih menjadi masalah di sana, termasuk di kawasan yang mempunyai lorong khas tersebut.

"Di tempat kami pun sebenarnya ada lorong kecemasan, tetapi ada kawasan yang tidak menyediakannya. Kalau ada sekalipun, masih ada pemandu yang menggunakannya," jelasnya.

Perkongsian itu sekali gus membuka ruang perbincangan mengenai disiplin pengguna jalan raya serta kepentingan memastikan lorong kecemasan tidak disalahgunakan, khususnya ketika berlaku kesesakan lalu lintas.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved