Warga PDRM perlu saling hormat menghormati tanpa kira pangkat

LocalPolitics
23 Oct 2026 • 3:43 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Warga PDRM perlu saling hormat menghormati tanpa kira pangkat

PETALING JAYA: Budaya menghormati pegawai lebih kanan dalam Polis Diraja Malaysia (PDRM) semakin terhakis dibimbangi menjejaskan disiplin, perpaduan dan kewibawaan pasukan sekali gus membuka ruang kepada jabatan serta agensi lain memandang rendah terhadap institusi ini.

Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail berkata, warga polis diingatkan sentiasa memelihara disiplin dan menghormati pegawai lebih kanan.

“Kita sedia maklum bahawa chain of command ini adalah sesuatu yang dituntut. Kita perlu menghormati pegawai yang lebih kanan daripada kita,” katanya pada Perhimpunan Bulanan KPN anjuran Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard di Bukit Aman di sini hari ini.

Mohd Khalid turut mengingatkan warga pasukan supaya menjadikan disiplin yang diterapkan ketika menjalani latihan di Pusat Latihan Polis sebagai amalan sepanjang tempoh perkhidmatan.

Beliau berkata, teguran terhadap pegawai dan anggota tidak seharusnya dianggap sesuatu yang negatif, sebaliknya perlu diterima sebagai pengajaran untuk memperbaiki diri.

“Teguran tidak menjadi satu kesalahan, tetapi biarlah menjadi satu pengajaran supaya pegawai dan anggota yang ditegur itu mempunyai rasa kesedaran bahawa satu kesalahan telah berlaku.

“Jangan kita anggap bahawa teguran ini sesuatu yang menunjukkan kelemahan kita sebaliknya perlu memastikan teguran itu membina dan membawa kepada kebaikan dalam membentuk jati diri untuk melaksanakan tanggungjawab dan amanah serta menjadi pegawai lebih berkaliber, berdisiplin dan berintegriti,” jelasnya.

Mohd Khalid berkata, setiap warga pasukan perlu saling menghormati, menerima teguran dan pandangan serta tidak menganggap diri sendiri sentiasa betul.

“Sebaliknya, saling mengingatkan dan menghormati pegawai lebih kanan bagi memupuk semangat kerjasama serta solidariti dalam pasukan,” ujarnya.

Dalam pada itu, Mohd Khalid berkata, PDRM akan mengadakan sambutan Hari Integriti pada 11 November bertemakan “Integriti dan Organisasi Bukan Pilihan Tetapi Kewajipan”.

Beliau berkata, sambutan itu turut menyaksikan 35 warga PDRM yang menolak tawaran rasuah ketika menjalankan tugas diberi pengiktirafan sebagai contoh kepada anggota lain untuk terus memelihara integriti dalam perkhidmatan.-UTUSAN 

The post Warga PDRM perlu saling hormat menghormati tanpa kira pangkat appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved