
PITAS: Tindakan Parti Warisan ketika menjadi kerajaan negeri menamatkan konsesi syarikat yang mengurus operasi loji rawatan air (LRA) di seluruh Sabah sebelum ini, adalah punca utama masalah air di negeri ini bertambah teruk.
Mendedahkan perkara itu, Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata, Warisan hanya berbohong apabila menyalahkan kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) - Pakatan Harapan (PH) Plus atas masalah air yang berlaku pada masa ini.
Katanya, penamatan konsesi sembilan syarikat kontraktor yang dilantik oleh kerajaan terdahulu bukan saja menyebabkan kerajaan negeri disaman dan terpaksa membayar pampasan, malah menjejaskan pengurusan bekalan air sedia ada.
“Saya mahu jelaskan kenapa kita ada masalah air,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Tahunan Parti Gagasan Rakyat Sabah (Gagasan Rakyat) Bahagian Pitas di Dewan Majlis Daerah Pitas, pada Isnin.
SPONSORED CONTENT Sinyi Group Founder, Chou Chun-Chi, Wins 2024 Asia Pacific Enterprise Award and Expands Sustainable Tourism Ventures in Sabah, Malaysia Kota Kinabalu: The 2024 Asia Pacific Enterprise Awards, hosted by Enterprise Asia, aims to recognize the most outstanding business leaders and organizations in the Asia-Pacific region. Read more “Warisan menyebabkan masalah air kita bertambah teruk kerana mereka berdendam kepada kerajaan terdahulu.
“Apa yang mereka buat ialah mereka tamatkan kontrak konsesi syarikat kontraktor air. Sebanyak sembilan konsesi ditamatkan – suatu tindakan berniat jahat.
“Apabila ditamatkan konsesi, bayangkan kerana ada perjanjian, kerajaan disaman, kerajaan rugi bayar RM315 juta kepada syarikat-syarikat konsesi ini,” katanya.
Ketua Menteri berkata, selepas konsesi syarikat terbabit ditamatkan, kerajaan Warisan melantik syarikat baharu pilihan mereka yang tiada pengalaman selain gagal melaksanakan kerja dengan baik untuk mengurus bekalan air di negeri ini.
“Sekarang mereka (Warisan) tuduh kita pula, sedangkan syarikat kontraktor yang mereka lantik sendiri tidak pandai buat kerja. Inilah yang menjadikan masalah air kita sekarang bertambah teruk.
“Rakyat tidak tahu perkara ini sedangkan kerajaan Warisan sebelum ini yang tidak buat kerja dengan betul kerana sikap dendam mereka,” katanya.
Pada Disember 2018, Menteri Pembangunan Infrastruktur di bawah kerajaan Warisan pada masa itu, Datuk Peter Anthony mengumumkan penamatan konsesi syarikat yang mengurus 58 LRA di Sabah berkuatkuasa pada Januari 2019.
Syarikat terbabit yang dilantik kerajaan terdahulu pada 2013 mempunyai kontrak perjanjian selama 20 tahun untuk mengurus LRA di negeri ini.
Berikutan penamatan perjanjian itu, kerajaan negeri disaman dan terpaksa membayar pampasan antara RM22 juta hingga RM54 juta bagi setiap syarikat kontraktor dengan jumlah keseluruhan pampasan dibayar kerajaan sebanyak RM315.2 juta.
Hajiji berkata, selepas mengambil alih kerajaan negeri pada September 2020, beliau dinasihatkan untuk membatalkan konsesi syarikat kontraktor baharu dilantik kerajaan Warisan sebelum itu, namun langkah itu dilihat menambahkan lagi beban kerajaan.
“Kalau kita buat begitu, kerajaan disaman lagi dan kita kena bayar lagi pampasan kepada syarikat konsesi baharu itu. Jadi, saya kata teruskan saja hingga tamat konsesi.
“Kalau saya macam mereka (Warisan), banyak sudah dibuang, tetapi saya tidak buat begitu kerana kita mesti timbang rasa dan beri keadilan,” katanya.
Berikutan itu, Hajiji yang juga Presiden Gagasan Rakyat meminta rakyat tidak terpengaruh dengan pembohongan Warisan yang ketika ini giat melakukan jelajah menyampaikan ceramah di seluruh negeri.
Katanya, beliau diserang siang dan malam dengan pelbagai fitnah dan cerita tidak benar oleh Warisan, namun fakta menunjukkan kerajaan pimpinannya melakukan yang terbaik berpandukan hala tuju pembangunan Sabah Maju Jaya (SMJ) yang digariskan.
Sementara itu, Hajiji yang juga Pengerusi GRS berkata Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17) boleh diadakan lebih awal jika beliau memutuskan untuk mengadakannya sebelum tarikh tamat tempoh Dewan Undangan Negeri (DUN) sekarang.
“PRN akan datang paling akhir pada Oktober tahun depan, jadi saya fikirlah bila kita akan adakan PRN.
“Kalau saya fikir awal, maka awal lah, kerana itu, kita kena bersiap sedia dari sekarang,” katanya.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.



