
Kota Kinabalu: Parti Warisan kekal tegas untuk bertanding dalam pilihan raya negeri akan datang secara solo meskipun berlaku perubahan politik.
Presidennya Datuk Seri Mohd Shafie Apdal menegaskan bahawa parti itu akan bertanding di kesemua 73 kerusi, sekali gus menolak spekulasi mengenai kerjasama dengan parti lain.
“Pendirian kita jelas, kita akan bertanding solo di semua 73 kerusi dan sudah membuat keputusan untuk bekerja terus dengan rakyat Sabah, dengan pengundi,” katanya pada sidang media di pejabat parti itu di Kolombong, Khamis.
Shafie turut menegur parti-parti politik lain yang lebih mementingkan perebutan kerusi dan jawatan menteri berbanding membantu rakyat.
“Mereka sendiri tidak dapat mencapai persetujuan sesama mereka, ada yang mahu 15 kerusi, ada yang mahu 20, 30 malah 50. Selepas dapat kerusi, mereka mahu jadi menteri. Selepas jadi menteri, mereka pula mencari projek. Kita tidak tahu apa sebenarnya matlamat mereka.
“Tetapi jika kita bekerja dengan rakyat, jelas apa yang mereka (rakyat) mahukan. Mereka mahu bekalan air bersih bukan hanya di Banggi, Semporna atau Long Pasia, tetapi semua empat juta rakyat Sabah mahukan air bersih yang mencukupi, elektrik dan jalan raya yang baik, bukan nombor plat mahal seperti plat kereta SMJ1 yang mencecah jutaan ringgit,” tambahnya.
Shafie turut mengecam kerajaan GRS kerana menyalahkan Warisan atas masalah yang dihadapi negeri ketika ini, walaupun GRS sudah mengurus pentadbiran negeri dan mengendalikan bajet sebanyak RM6.7 bilion tahun ini.
Beliau menuduh GRS sering menuding jari kepada Warisan dan dirinya dalam setiap isu.
“Bagaimana Warisan boleh dipersalahkan sedangkan GRS telah mentadbir Sabah selama lima tahun dan mengawal wang serta jabatan kerajaan,” katanya.
Shafie berkata setiap kali berlaku masalah sama ada gangguan bekalan air, jalan berlubang atau lampu jalan rosak, GRS tetap menyalahkan Warisan tanpa mengambil tanggungjawab.
“Ini dipanggil sindrom penafian,” katanya.
Beliau juga mempertahankan keputusannya untuk menamatkan perjanjian konsesi air yang berat sebelah ketika menjawat jawatan sebagai Ketua Menteri.
“Konsesi itu mendapat lebih RM100 juta, hampir RM200 juta. Tetapi apabila berlaku kebocoran paip dan masalah, Kerajaan Negeri yang terpaksa membayar.
“Itulah sebabnya saya beritahu Penasihat Undang-Undang Negeri, kalau mereka (syarikat konsesi) mahu bawa ke mahkamah, kita lawan di mahkamah. Tetapi apa yang GRS buat? Mereka selesaikan dan bayar RM320 juta. Kenapa perlu bayar RM320 juta? Bawa ke mahkamah dan cabar sama ada perjanjian itu sah atau sama ada mereka (syarikat) melaksanakan tanggungjawab dengan betul,” katanya.
“Hari ini kita lihat paip Jabatan Air tiada bekalan air. Tetapi kamu boleh beli air dari lori tangki. Dari mana mereka dapat air ini? Sekali lagi kesalahan dituding kepada saya. Mereka yang bersalah tetapi saya pula yang dituduh. Mereka ambil duit, saya pula yang dipersalahkan,” kata Shafie.
Beliau yakin Warisan boleh memberikan penyelesaian yang lebih baik berbanding kerajaan Gabungan Rakyat Sabah (GRS) dalam menangani masalah lama yang dihadapi Sabah.
“Sabah sudah terlalu lama bergelut dengan masalah daripada kemudahan asas seperti air dan elektrik hinggalah ke sekolah dan infrastruktur lain,” katanya.
Beliau mengakui bahawa menyelesaikan masalah ini akan mengambil masa namun partinya bertekad untuk menunjukkan hasil terhadap isu penting yang menjejaskan empat juta penduduk Sabah.
“Saya yakin dengan diberi sedikit masa kita boleh selesaikan masalah ini. Beri kami lima tahun penuh. Jangan biarkan wakil rakyat kami dibeli dan lompat parti kerana itu akan menyukarkan keadaan,” katanya.
Dengan undang-undang anti-lompat parti kini berkuat kuasa serta peraturan ketat dalam perlembagaan parti Warisan, Shafie yakin wakil rakyat akan kekal setia pada matlamat parti untuk berkhidmat kepada rakyat.
“Kita perlu fikir tentang masa depan rakyat Sabah. Mereka berdepan pelbagai masalah daripada bekalan air, elektrik, pekerjaan, harga barang yang tinggi, jalan raya yang teruk, hospital kurang kemudahan, sekolah yang masih diperbuat daripada kayu dan tandas sekolah tanpa air.
“Apa yang penting bagi kita adalah mengemukakan pelan untuk menyelesaikan masalah ini. Saya bukan membuat janji kosong, saya bercakap berdasarkan pengalaman 30 tahun berkhidmat kepada negara dalam tujuh kementerian berbeza,” katanya.
