
KUALA LUMPUR: Kawasan perumahan awam di ibu negara perlu diwartakan bagi memastikan pembangunan semula di kawasan berkenaan terus menyediakan kediaman mampu milik kepada rakyat.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, Projek Perumahan Rakyat (PPR) dan kediaman kos rendah wajar dikekalkan sebagai perumahan mampu milik meskipun dibangunkan semula bagi memastikan golongan berpendapatan rendah terus mendapat akses kepada kediaman di bandar.
Beliau berkata, pembangunan semula kawasan perumahan awam tidak seharusnya dijadikan alasan untuk membina kediaman berharga tinggi sehingga menjejaskan peluang golongan berpendapatan rendah mendapatkan rumah mampu milik.
“Jangan apabila dibangunkan semula, kita tambah pula rumah-rumah mahal. Selalunya, ada dua blok perumahan awam, manakala blok lain dibina untuk rumah berharga RM800,000, RM900,000 atau RM1,000.
“Itu tidak boleh. Kalau kawasan itu sudah dikenal pasti dan diwartakan sebagai kawasan perumahan awam, apa sahaja yang kita bangunkan di situ mesti kekal sebagai perumahan awam,” katanya dalam sidang akhbar selepas merasmikan Majlis Penyerahan Projek serta perasmian Kampung Angkat Madani dan sekolah angkat Madani 2026 di Dewan Seroja, Kem Kementah hari ini.
Johari yang juga Ahli Parlimen Titiwangsa, cadangan itu bertujuan mewujudkan ekosistem dan nilai ekonomi yang lebih baik khususnya bagi golongan B40.
Menurut beliau, penyediaan perumahan mampu milik akan membantu golongan berkenaan mempunyai lebihan pendapatan boleh guna, sekali gus mengurangkan tekanan kos sara hidup dan menangani isu kemiskinan bandar.
Katanya, malah kadar sewa unit perumahan awam berkenaan perlu ditetapkan pada kadar RM1,000 ke bawah sebulan atau ditawarkan untuk jualan pada harga berpatutan.
“Rakyat kita bukannya malas, cuma mereka kurang berminat bekerja di bandar kerana tawaran gaji rendah, selain perlu menyewa rumah pada kadar yang tinggi.
“Bayangkan jika gaji hanya RM3,000 tetapi perlu membayar sewa rumah sehingga RM1,500 dan hampir RM1,000 lagi untuk kos pengangkutan.
“Mereka juga perlu menanggung perbelanjaan lain sehingga menyebabkan pendapatan boleh guna semakin kecil. Bagaimana rakyat kita boleh meneruskan kehidupan dalam keadaan begitu?
“Keadaan ini menyebabkan ramai memilih untuk berhijrah ke kawasan pinggir bandar atau luar bandar, selain terpaksa menggunakan kenderaan dan mengambil masa yang lama untuk berulang-alik ke tempat kerja,” katanya.
Pada masa sama, Johari berkata, kediaman mampu milik berhampiran kawasan pekerjaan juga penting bagi mengurangkan kos pengangkutan pekerja sektor perkhidmatan yang terpaksa tinggal jauh dari pusat bandar.
Tambahnya, usaha pembangunan semula perumahan awam memerlukan masa dan perancangan teliti bagi memastikan kediaman yang dibangunkan memenuhi keperluan penduduk bandar. – UTUSAN
The post Wartakan perumahan awam demi lindungi kediaman rakyat appeared first on Utusan Malaysia.



![[VIDEO] Manjoi banjir, air hampir paras bumbung](https://imgproxy.newswav.com/139x0,q50=/https://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/11/WhatsApp-Image-2026-11-27-at-6.43.35-PM-e1795776931162-1024x634.jpeg)


