
PENAMPANG: Penduduk di sekitar kawasan banjir dinasihatkan berpindah ke tempat lebih selamat ketika hujan lebat. Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Dr Jeffrey Kitingan berkata Kerajaan sedang melakukan segala yang mungkin untuk menyiapkan projek tebatan banjir, termasuk dua yang sedang dijalankan di Penampang dan Putatan.
“Malangnya, kerja-kerja ini hanya akan siap dalam beberapa tahun dan kita menjangkakan keseluruhan kerja-kerja tebatan banjir akan siap sepenuhnya dalam tempoh enam tahun.
“Dalam pada itu, saya menggesa penduduk yang tinggal di kawasan banjir supaya membuat perancangan untuk berpindah ke kawasan lain ketika hujan lebat,” katanya.
Kitingan berkata demikian semasa lawatannya ke Pusat Kebudayaan Penampang di sini Isnin lalu di mana 13 keluarga ditempatkan sementara selepas kediaman mereka dinaiki air ketika hujan lebat Ahad lalu.
Menasihati penduduk di kawasan rendah supaya sentiasa berwaspada dengan air sungai yang semakin meningkat, Kitingan turut tidak menggalakkan pemilik tanah membina rumah terlalu dekat dengan sungai yang sering dilanda banjir.
“Musim hujan baru bermula dan menurut Jabatan Meteorologi, lebih banyak kejadian hujan dijangka sebelum akhir tahun ini.
“Cuaca semakin tidak menentu akibat kesan perubahan iklim. Marilah kita bersama-sama mengelak kerugian harta benda,” katanya.
Kitingan diiringi Pegawai Daerah Penampang Francis Chong, pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat, Jurutera Daerah Ir Irene Choo, Ketua Polis Daerah DSP Mohd Haris Ibrahim dan Senator Datuk John Ambrose.
Beliau turut diberi taklimat mengenai keadaan banjir di lapangan oleh Chong di pusat bencana alam daerah dan langkah-langkah yang diambil untuk membantu mangsa.
* Follow us on Instagram and join our Telegram and/or WhatsApp channel(s) for the latest news you don't want to miss.
* Do you have access to the Daily Express e-paper and online exclusive news? Check out subscription plans available.

