
MELAKA: Parti Wawasan Negara (Wawasan) hanya bertanding di satu kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN), iaitu Paya Rumput pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka, susulan rundingan pembahagian kerusi dengan Barisan Nasional (BN).
Menurut sumber, keputusan itu hampir dimuktamadkan dengan Wawasan dijangka mempertaruhkan Ketua Penaja Wawasan Bahagian Tangga Batu, Ramlan Meon, 40, sebagai calon di kerusi berkenaan.
Katanya, Paya Rumput sebelum ini disandang Datuk Rais Yasin yang dijangka berpindah ke DUN Sungai Udang pada pilihan raya kali ini.
“Perbincangan mengenai pembahagian kerusi sudah menemui titik noktah dan Wawasan hampir pasti diberikan satu kerusi, iaitu Paya Rumput. Keputusan akhir dijangka diketahui sebelum pengumuman calon dibuat,” katanya kepada Utusan Malaysia semalam.
Menurut sumber itu, perkembangan berkenaan turut menjejaskan peluang dua bekas Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN), Dr. Mohd. Aleef Yusof dan Dr. Mohd. Yadzil Yaakub, untuk mempertahankan kedudukan masing-masing.
Kedua-duanya memenangi kerusi Sungai Udang dan Bemban atas tiket Perikatan Nasional (PN) pada PRN 2021 sebelum meninggalkan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) dan menyertai Wawasan.
Katanya, nama Mohd. Aleef tidak berada dalam senarai calon bagi Paya Rumput, manakala Mohd. Yadzil menjadi pilihan kedua selepas Ramlan.
“Setakat ini pucuk pimpinan tertinggi Wawasan cenderung memilih Ramlan jika hendak dibandingkan dengan Aleef mahu pun Mohd. Yadzil,” katanya.
Ramlan, anak jati Kampung Tampoi Krubong, merupakan bekas Ketua Bahagian Bersatu Tangga Batu yang dipecat pada Februari lalu. Beliau turut dikenali sebagai pemilik restoran dan pengurus pasukan bola sepak Tampoi FC.
Sumber berkata, pengumuman calon Wawasan bersama parti komponen PN dijangka dibuat pada 24 Oktober ini, menjelang pengundian PRN Melaka pada 14 November.
Sebelum ini, Pengerusi BN Melaka, Datuk Seri Ab. Rauf Yusoh, menyatakan BN akan mempertahankan 21 kerusi yang dimenangi pada PRN 2021, manakala baki kerusi boleh dirunding berdasarkan kekuatan dan kepentingan parti terlibat. – UTUSAN
The post Wawasan hanya bertanding di DUN Paya Rumput appeared first on Utusan Malaysia.






