HE Group peroleh kontrak RM56.7 juta kerja elektrik untuk projek pusat data di Cyberjaya

27/08/2025 - 14:42
Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 27 Ogos – Penyedia perkhidmatan kejuruteraan elektrik dan mekanikal, HE Group Bhd memperoleh kontrak bernilai RM56.7 juta bagi penyediaan perkhidmatan elektrik serta kerja-kerja berkaitan untuk sebuah pusat data di Cyberjaya.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, HE Group berkata, anak syarikatnya, Hexatech Engineering Sdn Bhd telah menerima surat arahan bagi projek tersebut bertarikh 26 Ogos 2025.
“Kontrak rasmi dijangka dimuktamadkan dan ditandatangani pada suku keempat tahun 2025,” kata HE Group.
Projek tersebut adalah sejajar dengan strategi pertumbuhan Kumpulan untuk memfokuskan kepada rumusan sambungan kuasa dan kejuruteraan untuk industri semikonduktor, pusat data dan tenaga boleh diperbaharui (RE).
Ia juga selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu Malaysia 2030 (NIMP 2030) yang memperkasakan segmen perniagaan tersebut.
Projek itu juga memperkukuhkan kumpulan dalam usahanya mengembangkan operasi dalam sektor pusat data.
Walaupun buku pesanan semasa bernilai RM49 juta masih didominasi oleh projek semikonduktor, 70% daripada buku tender berjumlah RM700 juta kini melibatkan projek pusat data. - DagangNews.com
standard

