hamden18/08/2026 - 14:47 Oleh HAMDEN RAMLI editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 18 Ogos - West River Bhd menerusi anak syarikat milik penuhnya, Neutron Power Sdn Bhd, memperoleh kelulusan Pihak Berkuasa Pembangunan Tenaga Lestari Malaysia (SEDA) bagi dua projek hidro kecil di Perak di bawah program Tarif Galakan (FiT).
Kelulusan tersebut disenaraikan SEDA sebagai Feed-in Approval bagi tahun 2026, sekali gus membuka laluan kepada West River untuk memperluaskan penyertaan dalam sektor tenaga boleh diperbaharui.
Kedua-dua projek berkenaan masing-masing terletak di Hutan Rizab Bukit Kinta, Mukim Ulu Kinta, Ulu Kinta dan Hutan Rizab Bukit Tapah, Mukim Bidor, Batang Padang, Perak.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia hari ini, West River berkata kelulusan FiT itu meliputi jumlah kapasiti terpasang, kapasiti eksport bersih serta kadar FiT yang terpakai bagi kedua-dua projek.
Tarikh permulaan FiT yang dijadualkan bagi projek berkenaan ialah 17 Ogos 2031.
Menurut kumpulan itu, kelulusan tersebut merupakan satu lagi pencapaian penting dalam strategi pengembangan West River ke sektor tenaga boleh diperbaharui, khususnya bagi membangunkan asas pendapatan yang lebih pelbagai dan mampan.
“West River melihat tenaga hidro sebagai bidang pertumbuhan strategik jangka panjang, mengambil kira peranannya sebagai sumber tenaga boleh diperbaharui yang boleh dipercayai serta potensinya menyumbang kepada peralihan Malaysia ke arah campuran tenaga rendah karbon,” katanya.
West River berkata pihaknya akan terus memajukan kedua-dua projek itu mengikut keperluan kawal selia serta garis masa pembangunan yang ditetapkan.
Kumpulan itu turut menegaskan komitmennya untuk meneroka peluang dalam sektor tenaga boleh diperbaharui yang selaras dengan strategi pertumbuhan jangka panjang, selain berusaha menjana nilai mampan kepada pemegang saham dan pihak berkepentingan. - DagangNews.com





