Northern Solar peroleh kelulusan rasmi SC pindah ke Pasaran Utama Bursa Malaysia

LocalBusiness & Finance
1 Sep 2026 • 11:30 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Northern Solar peroleh kelulusan rasmi SC pindah ke Pasaran Utama Bursa Malaysia Image from: Northern Solar peroleh kelulusan rasmi SC pindah ke Pasaran Utama Bursa Malaysia amree01/09/2026 - 11:30 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 1 SeptNorthern Solar Holdings Berhad semakin mengukuhkan kedudukannya dalam pasaran modal Malaysia selepas menerima kelulusan rasmi Suruhanjaya Sekuriti Malaysia (SC) untuk memindahkan penyenaraian sahamnya daripada Pasaran ACE ke Pasaran Utama Bursa Malaysia.

 

Langkah itu dilihat sebagai satu lagi perkembangan penting dalam fasa pertumbuhan syarikat tenaga solar berkenaan selepas disenaraikan di Pasaran ACE pada 6 Februari 2025, sekali gus membuka ruang peningkatan profil korporat serta keterlihatan luas dalam kalangan pelabur.

 

Kelulusan tersebut diberikan di bawah Seksyen 214(1) Akta Pasaran Modal dan Perkhidmatan 2007, tertakluk kepada kumpulan itu dan penasihat utamanya, Alliance Islamic Bank Berhad, mematuhi sepenuhnya keperluan Garis Panduan Ekuiti SC berkaitan pelaksanaan cadangan pemindahan.

 

"SC turut mengambil maklum bahawa Northern Solar sudah memenuhi keperluan ekuiti Bumiputera yang terpakai kepada syarikat tersenarai awam berikutan penyenaraiannya di Pasaran ACE Bursa Malaysia," jelasnya dalam satu kenyataan.

 

Kumpulan berkenaan sebelum ini mengumumkan cadangan pemindahan penyenaraian tersebut pada 25 Mac 2026, sebelum mengemukakan permohonan secara rasmi kepada SC pada 30 Mac 2026.

 

Cadangan berpindah ke Pasaran Utama itu merupakan langkah seterusnya dalam perkembangan Northern Solar dalam pasaran modal Malaysia, selepas kira-kira setahun setengah berada di Pasaran ACE.

 

Northern Solar_DagangNews2026

 

Syarikat berkata penyenaraian di Pasaran Utama dijangka membantu meningkatkan profil dan keterlihatan korporat, selain memperluaskan pangkalan pelaburnya kepada kumpulan prospek yang lebih besar termasuk pelabur institusi.

 

"Perkembangan ini juga berpotensi meningkatkan keterlihatan Northern Solar dalam kalangan komuniti pelaburan, sekali gus menyokong usaha syarikat memperkukuh kedudukan sebagai pemain dalam sektor tenaga solar dan tenaga boleh diperbaharui," katanya.

 

Northern Solar dan penasihatnya ketika ini akan meneruskan proses seterusnya bagi memenuhi segala baki keperluan berkaitan cadangan pemindahan penyenaraian tersebut.

 

Pada masa sama, syarikat berkenaan menambah, sebarang perkembangan penting yang berkaitan cadangan pindahan itu akan diumumkannya terus kepada Bursa Malaysia.

 

Kelulusan SC tersebut menjadi perkembangan positif kepada Northern Solar kerana perpindahan ke Pasaran Utama bukan sahaja mencerminkan kemajuan syarikat sejak penyenaraian di Pasaran ACE pada 2025, malah berpotensi meningkatkan akses kepada kumpulan pelabur yang lebih luas. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved