
JIKA hujung minggu ini masih belum ada rancangan, apa kata tukar angin ke Pulau Pinang? Selain menikmati makanan popular dan suasana unik George Town, pengunjung berpeluang menyelami kepelbagaian seni, budaya dan tradisi masyarakat Malaysia menerusi Festival Citra Mutiara 2026.
Berlangsung dari 11 hingga 13 September 2026 di lokasi ikonik Lebuh Armenian, George Town, festival itu membuka tirainya dari jam 10 pagi hingga 11 malam dengan pelbagai aktiviti menarik untuk seisi keluarga.

Dibawakan khas oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya (MOTAC) menerusi Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara (JKKN) dengan kerjasama Kerajaan Negeri Pulau Pinang, festival berkenaan tampil dengan identiti baharu selepas sebelum ini dikenali sebagai Festival Balik Pulau sejak 2019.
Menariknya, pemindahan lokasi ke tapak warisan UNESCO George Town memberikan pengalaman yang lebih santai dan dekat dengan suasana bandar bersejarah itu.

Antara acara yang pasti mencuri perhatian ialah Perarakan Budaya Citra Mutiara yang bakal menyusuri lorong-lorong bersejarah sekitar Lebuh Armenian.
Melibatkan lebih 200 peserta, perarakan interaktif itu mengetengahkan kepelbagaian identiti masyarakat Malaysia menerusi persembahan tradisi Melayu, Cina, India serta seni warisan komuniti etnik tempatan.

Jadi, pengunjung bukan sekadar menjadi penonton, malah berpeluang merasai sendiri kemeriahan budaya dalam suasana yang cukup berwarna-warni.
Bagi yang datang bersama anak-anak, pelbagai aktiviti turut disediakan sepanjang festival, antaranya pertandingan boria kategori cilik dan terbuka, pertandingan peragaan busana boria cilik, pertandingan mewarna keluarga, pertandingan sepak raga ratus, pertandingan diabolo serta pertandingan kolam.
Pelbagai acara tersebut pastinya memberikan pilihan kepada pengunjung untuk mengisi masa lapang sambil memperkenalkan seni dan permainan tradisional kepada anak-anak dalam suasana yang lebih menyeronokkan.
Santai bersama penggiat seni
Mahukan pengalaman lebih dekat dengan dunia seni? Jangan lepaskan peluang menyertai Sembang Santai Anak Seni.

Sesi tersebut memberi ruang kepada pengunjung untuk berinteraksi secara lebih mesra bersama penggiat seni, selain mendapatkan inspirasi serta mengenali kisah di sebalik dunia kesenian.
Suasana turut dimeriahkan dengan pelbagai persembahan kesenian, pameran dan demonstrasi kebudayaan interaktif daripada agensi serta pihak swasta.
Lebih daripada sekadar hiburan, program itu menjadi platform untuk memperkenalkan seni dan warisan tempatan kepada masyarakat dalam suasana yang santai dan dekat dengan komuniti.
Festival Citra Mutiara 2026 menyasarkan kehadiran lebih 10,000 pengunjung sepanjang tiga hari penganjuran.
Selain seni dan budaya, penganjuran aktiviti tersebut turut mengetengahkan gastronomi Pulau Pinang, sekali gus melengkapkan pengalaman mereka yang mahu menikmati keunikan negeri berkenaan.

Majlis perasmian penutup dijangka berlangsung penuh gilang-gemilang dan akan disempurnakan oleh Tuan Yang Terutama Yang di-Pertua Negeri Pulau Pinang, Tun Ramli Ngah Talib.
Turut dijadualkan hadir ialah Ketua Menteri Pulau Pinang, Chow Kon Yeow, EXCO Pelancongan dan Ekonomi Kreatif Negeri, Wong Hon Wai, Ketua Setiausaha MOTAC, Datuk Shaharuddin Abu Sohot serta Ketua Pengarah JKKN, Mohd Amran Mohd Haris.
Jadi, kalau mencari aktiviti menarik untuk hujung minggu, bolehlah rancang perjalanan ke George Town dan nikmati sendiri kemeriahan festival tersebut bersama keluarga atau rakan-rakan.

Untuk maklumat lanjut dan jadual penuh, ikuti laman media sosial rasmi JKKN di Facebook atau laman web rasmi JKKN.






