
Pengguna jam tangan Garmin kini boleh menggunakan aplikasi WhatsApp terus daripada jam tangan selepas Garmin mengumumkan ketersediaannya melalui Connect IQ Store. Model yang menyokong termasuk siri fēnix, Forerunner, Venu dan vívoactive yang membolehkan pengguna menikmati pengalaman lebih menyeluruh tanpa perlu mengeluarkan telefon.

Melalui penawaran baharu ini, pengguna boleh melihat mesej terkini, menghantar emoji atau reaksi, melihat sehingga 10 mesej dalam sejarah chat, serta menerima panggilan masuk dengan pilihan untuk menolak. Semua mesej dan panggilan turut dilindungi dengan penyulitan hujung-ke-hujung bagi memastikan privasi sentiasa terjaga.

Menariknya, WhatsApp dikatakan menjadi aplikasi pemesejan pihak ketiga pertama yang hadir secara rasmi pada jam tangan Garmin melalui ekosistem Connect IQ. Malah, Garmin menekankan bahawa kehadiran aplikasi ini memberi pengguna cara baharu untuk kekal berhubung dalam pelbagai situasi seperti ketika bersenam atau bergerak.

Bagi pemilik jam tangan Garmin terpilih, aplikasi ini boleh dimuat turun melalui Connect IQ Store. Selain Garmin, WhatsApp kini turut tersedia untuk Apple Watch (Series 4 dan ke atas dengan watchOS 10) yang membolehkan pengguna membaca mesej, membalas, menghantar mesej suara dan memberi reaksi terus dari jam tangan mereka.


