
SEREMBAN: Wisma Putra akan membantu menguruskan perjalanan keluarga rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan susulan insiden banjir kilat dan tanah runtuh dahsyat di kawasan sempadan Nepal-Tibet pada 26 Ogos lalu.
Menteri Luar, Datuk Seri Mohamad Hasan berkata, pihaknya bersama Majlis Keselamatan Negara (MKN) dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO) juga akan mengadakan taklimat bersama keluarga esok.
Katanya, pihaknya turut bersedia membantu sekiranya keluarga terbabit mahu ke Nepal bagi mendapatkan perkembangan terkini mengenai ahli keluarga mereka.
“Wisma Putra, MKN dan agensi-agensi lain akan bertemu dan memberi taklimat kepada keluarga. Jika keluarga mahu ke Nepal pun, kita akan cuba uruskan untuk memastikan mereka dapat ke sana.
“Bagaimanapun, untuk ke tempat kejadian memang susah kerana perhubungan terjejas dan jambatan juga terputus,” katanya ketika ditemui selepas Program Ziarah Kasih Tok Mat di sini, hari ini.
Mohamad berkata, Wisma Putra kini berhubung rapat dengan Kementerian Luar Nepal, MKN serta agensi berkaitan bagi memantau perkembangan bencana berkenaan.
Beliau berkata, bilik operasi Wisma Putra turut dibuka 24 jam bagi memantau situasi dan menyelaras usaha membantu rakyat Malaysia yang terjejas.
“Kuasa Usaha kita di Nepal, di Kathmandu sentiasa melapor dan menghantar laporan kepada saya setiap hari.
“Kedutaan Malaysia di Kathmandu juga terus beroperasi dan kita sudah menghantar staf tambahan bagi membantu menguruskan apa sahaja yang diperlukan, khususnya untuk membantu keluarga mereka yang masih belum dapat dikesan,” katanya.
Dalam pada itu, Mohamad berkata, Nepal tidak memerlukan penghantaran pasukan mencari dan menyelamat (SAR) dari negara lain berdasarkan pengalaman negara itu menguruskan operasi seumpama ketika gempa bumi beberapa tahun lalu.
Sebaliknya, beliau berkata kerajaan Nepal meminta negara-negara yang mahu membantu menyalurkan sumbangan kewangan bagi menyokong usaha pemulihan dan bantuan kepada mangsa.
“Negara Nepal berkata tidak perlu (pasukan SAR) kerana berdasarkan pengalaman mereka semasa gempa bumi beberapa tahun lalu di Kathmandu, susah untuk mengurus pasukan-pasukan SAR ini.
“Mereka memohon supaya setiap negara membantu Nepal melalui sumbangan kewangan kerana mereka memang memerlukan sumbangan kewangan,” katanya.
Beliau dalam pada itu berkata, Wisma Putra akan terus memantau perkembangan rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan, termasuk maklumat daripada negara lain berhubung individu yang mungkin sudah berjaya dihubungi.
Katanya, Kedutaan Malaysia di Kathmandu turut mengambil langkah untuk menambah kakitangan bagi membantu urusan berkaitan. – UTUSAN
The post Wisma Putra adakan taklimat bersama keluarga esok appeared first on Utusan Malaysia.






