
KUALA LUMPUR: Keluarga rakyat Malaysia yang masih belum dapat dikesan selepas tragedi banjir kilat di kawasan sempadan Nepal-Tibet terus menyimpan harapan agar mereka ditemukan dalam keadaan selamat.
Jamaliah Tengku Ismail, 68, berkata beliau percaya kumpulan berkenaan mampu menghadapi keadaan sukar kerana mereka dipercayai bergerak bersama individu yang mempunyai pengalaman dalam aspek keselamatan dan kelangsungan hidup.
“Saya percaya kumpulan itu melakukan perjalanan bersama orang yang berpengalaman. Mereka bersama ahli bomba yang memang mempunyai latihan dalam aspek survival.
“Saya yakin jika mereka berada di tempat yang selamat, insya-Allah mereka mampu melalui keadaan itu,” katanya ketika ditemui hari ini.
Menurut Jamaliah, suaminya, Nasir Mohamad Nasir Abdul Talib merupakan antara sembilan rakyat Malaysia yang berada dalam kumpulan berkenaan.
Kumpulan itu turut disertai pegawai latihan Akademi Bomba dan Penyelamat Wilayah Tengah, Mohd Fakhrul Munir Mohd Isa.
Bagaimanapun, Jamaliah berkata beliau cuba untuk terus bersabar meskipun semakin lama masa berlalu tanpa sebarang khabar berita, sekali gus menyebabkan kebimbangan keluarga semakin meningkat.
“Selagi tiada khabar buruk, sudah pasti kami masih berharap. Sudah tentu saya kena sabar, tetapi semakin lama hari berlalu, peluang itu semakin kurang,”jelasnya.
Jamaliah berkata, komunikasi terakhir yang diterima daripada kumpulan berkenaan menunjukkan mereka berada dalam keadaan ceria sebelum meneruskan perjalanan ke kawasan sempadan.
“Malam itu mereka sangat gembira dan sempat makan malam bersama. Mereka juga teruja untuk ke sempadan kerana mahu sampai awal.
“Beberapa keping gambar turut dihantar kira-kira 10 minit sebelum mereka meneruskan perjalanan dari sebuah kafe,” ujarnya.
Menurutnya, tempoh operasi di sempadan yang terhad menyebabkan kumpulan terbabit perlu bergerak mengikut masa yang ditetapkan.
“Kalau tersilap masa, sempadan itu akan ditutup dan mereka mungkin terpaksa bermalam di situ. Sebab itu mereka cuba bergerak awal,” jelasnya.
Jamaliah berharap operasi mencari dan menyelamat terus dipergiat bagi memastikan semua rakyat Malaysia yang masih belum ditemukan dapat diselamatkan dan dibawa pulang dalam keadaan selamat.
Sementara itu, seorang lagi rakyat Malaysia dalam kumpulan berkenaan, Jason Ngeow, 56, turut dilaporkan masih belum diketahui keadaannya.
Kakaknya, Ngeow Joane, 59, berkata beliau mengetahui adiknya terlibat dalam tragedi berkenaan selepas dihubungi isteri, Mohd Fakhrul, Hani Othman yang memaklumkan mengenai kejadian tersebut.
Menurutnya, Jason masih bujang serta menjalankan perniagaan sendiri dan sememangnya gemar melancong.
Bagaimanapun, katanya, adiknya biasanya tidak memaklumkan secara terperinci mengenai perjalanan atau jadualnya kepada keluarga.
“Ini merupakan kali kedua dia mengunjungi Nepal. Dia juga berada dalam keadaan sihat dan aktif bermain golf.
“Perkara yang paling diharapkan keluarga ketika ini adalah supaya dia berada dalam keadaan selamat dan dapat pulang ke pangkuan keluarga,” katanya.
Joane berkata keluarganya amat bimbang dengan keadaan Jason, terutama mengambil kira usia ibu bapa mereka yang masing-masing sudah berusia 80 dan 90 tahun. – UTUSAN
The post ‘Yakin suami masih selamat’ appeared first on Utusan Malaysia.






