SHAH ALAM - Worldwide Holdings Berhad (Worldwide Holdings) yang menyambut ulang tahun ke-36 menegaskan komitmen untuk terus memperkukuh peranan sebagai peneraju sektor tenaga dan alam sekitar di Selangor.
Sejak penubuhan lebih tiga dekad lalu, konglomerat milik kerajaan negeri di bawah Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) itu pada awalnya dikenali sebagai pemaju hartanah telah berkembang sebagai pembangunan infrastruktur melalui pelbagai portfolio perniagaan.
Kini, syarikat itu terlibat dalam pelbagai segmen termasuk penjanaan tenaga menerusi Pulau Indah Power Plant (PIPP), pengurusan sisa pepejal, Loji Sisa ke Tenaga (WTE), pengurusan sisa pepejal bersepadu (ISWMC) serta tenaga boleh baharu seperti ladang solar, loji hidrokuasa dan hidrogen.
Baru-baru ini, Worldwide Holdings turut mencatat pencapaian penting apabila fasiliti WTE terbesar dan termoden negara berjaya mencapai tarikh operasi komersial (COD), sekali gus mengukuhkan kedudukannya sebagai pemain utama dalam agenda pembangunan mampan negeri.
Mengangkat tema 'Menghidupkan Jiwa Kerja dan Legasi Kehidupan', sambutan ulang tahun kali ini memberi fokus kepada penghayatan nilai hikmah, kepimpinan dan pembinaan legasi dalam organisasi.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Datin Paduka Norazlina Zakaria berkata, ulang tahun tersebut bukan sekadar simbol pencapaian, sebaliknya mencerminkan perjalanan berterusan syarikat dalam memperkukuh asas perniagaan yang mampan dan relevan.
Menurut beliau, kejayaan Worldwide Holdings didorong komitmen warga kerja, kekuatan kepimpinan serta sokongan pemegang taruh yang konsisten.
“Worldwide Holdings akan terus menerajui sektor tenaga dan alam sekitar selaras dengan mandat kerajaan negeri Selangor, selain kekal berdaya saing sebagai konglomerat unggul di peringkat negeri dan nasional," katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Pada masa sama, Worldwide Holdings turut menjalinkan kerjasama strategik dengan Grup Buku Karangkraf bagi penyediaan buku tadabbur dan aplikasi surah Yasin untuk diedarkan kepada warga kerja serta pemegang taruh syarikat.
Inisiatif itu bertujuan memperkukuh budaya ilmu, penghayatan nilai murni serta pembangunan rohani dalam kalangan warga organisasi.
Sambutan yang diadakan di Mercu Worldwide itu menghimpunkan warga kerja ibu pejabat serta pejabat operasi syarikat sebagai penghargaan terhadap komitmen dan dedikasi kakitangan yang menjadi tunjang kejayaan syarikat.
Majlis dimulakan dengan bacaan Surah Yasin dan doa kesyukuran sebagai simbol penghayatan nilai spiritual serta usaha membina organisasi yang seimbang dari aspek prestasi dan kemanusiaan.
Penulis buku Tadabbur Aplikasi Surah Yasin, Fazrul Ismail turut dijemput menyampaikan perkongsian ilmu berkaitan mesej utama Surah Yasin yang menyentuh aspek hikmah, kepimpinan, kemanusiaan dan pembinaan legasi dalam konteks pengurusan korporat moden.
Pihak pengurusan syarikat berharap sambutan ulang tahun itu menjadi pemangkin kepada pengukuhan budaya kerja yang lebih holistik berteraskan ilmu, nilai dan hikmah demi memastikan Worldwide Holdings terus relevan, mampan dan berdaya saing pada masa depan.




