
PETALING JAYA: Wisma Putra disaran mewujudkan pusat sehenti khusus bagi memastikan waris kepada 91 rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi susulan bencana di sempadan Nepal-China menerima maklumat secara langsung, berkala dan konsisten.
Timbalan Menteri Perpaduan Negara, R. Yuneswaran berkata, pusat itu perlu dilengkapi talian 24 jam, nombor rujukan kes serta pegawai yang boleh dihubungi pada bila-bila masa.
Beliau berkata, seorang pegawai perhubungan khusus juga perlu dilantik bagi setiap keluarga supaya tiada waris tercicir daripada aliran maklumat.
“Dengan cara itu, mereka tidak perlu menghubungi pelbagai agensi untuk mendapatkan perkembangan.
“Taklimat juga perlu diadakan pada waktu yang tetap setiap hari walaupun belum terdapat maklumat baharu kerana kesunyian maklumat hanya akan menambahkan tekanan dan penderitaan keluarga,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berdasarkan kenyataan rasmi Wisma Putra setakat pukul 8 malam semalam, seramai 55 rakyat Malaysia di Nepal dan 36 lagi di China masih belum dapat dihubungi.
Bagaimanapun, angka keseluruhan 91 orang itu masih melalui proses pengesahan dan semakan silang bagi mengelakkan pertindihan antara laporan dari Nepal dengan China.
Antara yang belum dapat dihubungi dilaporkan terdiri daripada pelancong, pendaki, jemaah ziarah keagamaan ke Gunung Kailash serta dua pegawai Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM).
Yuneswaran berkata, beliau menghargai tindakan Wisma Putra mengaktifkan Bilik Operasi selama 24 jam serta menggerakkan perwakilan Malaysia di Kathmandu, Beijing dan New Delhi.
Namun, katanya, skala bencana berkenaan menuntut penyelarasan yang lebih menyeluruh, pantas dan berpusat.
Beliau berkata, penyelarasan antara Wisma Putra, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA), JBPM, pihak berkuasa Nepal dan China, agensi pelancongan serta syarikat telekomunikasi perlu dipergiat.
Katanya, langkah itu penting bagi menyemak manifest perjalanan, nombor pasport, laluan perjalanan dan lokasi terakhir setiap individu.
“Keanggotaan konsular dan pasukan tindak balas di Kathmandu, Beijing dan New Delhi juga perlu ditambah, termasuk pegawai yang mempunyai kemahiran bahasa serta kepakaran pengurusan bencana,” katanya.
Yuneswaran turut mencadangkan supaya kepakaran teknikal Malaysia ditawarkan segera kepada Nepal, selain memuktamadkan persediaan untuk menggerakkan Pasukan Khas, Taktikal dan Penyelamat Malaysia (STORM).
Katanya, pasukan itu perlu bersedia digerakkan sebaik sahaja permintaan dan kelulusan rasmi diterima.
“Malaysia mempunyai pengalaman dan keupayaan dalam misi mencari dan menyelamat antarabangsa.
“Dalam keadaan setiap minit amat berharga, semua persediaan anggota, peralatan, dokumen perjalanan dan logistik perlu diselesaikan terlebih dahulu supaya pasukan kita dapat bergerak tanpa sebarang kelewatan,” katanya.
Beliau berkata, kerajaan juga perlu menyediakan sokongan psikososial kepada keluarga menerusi kerjasama Jabatan Kebajikan Masyarakat dan Kementerian Kesihatan.
Beliau berkata, bantuan berkaitan dokumen, perjalanan dan logistik juga perlu disediakan kepada waris terdekat yang memerlukannya.
“Malaysia juga wajar menyelaraskan bantuan kemanusiaan kepada Nepal berdasarkan keperluan dikenal pasti pihak berkuasa negara itu termasuk bantuan perubatan, makanan, air bersih, tempat perlindungan sementara dan pemulihan infrastruktur asas,” katanya.
Bencana banjir kilat, aliran puing dan tanah runtuh yang melanda kawasan sempadan Nepal-China termasuk daerah Rasuwa serta Gyirong atau Kerung di Tibet pada 26 Ogos lalu dilaporkan meragut lebih 600 nyawa, manakala ribuan lagi masih hilang. – UTUSAN
The post Wujudkan pusat sehenti bantu waris 91 rakyat Malaysia appeared first on Utusan Malaysia.






