X Mengemaskini Sistem Community Notes Untuk Mempercepatkan Proses Pembetulan Ciapan

TechnologyDigital
30 Oct 2024 • 3:43 PM MYT
Amanz
Amanz

Amanz merupakan laman berita dunia teknologi serta ulasan peranti terkini.

image is not available

X atau lebih dikenali dahulu sebagai Twitter telah hadir dengan pelbagai jenis kemaskini yang menambah dan membuang pelbagai jenis ciri sejak ia diambil-alih oleh Elon Musk beberapa tahun dahulu. Salah satu ciri “lama” yang diperkenalkan ialah Community Notes, dimana pengguna platform tersebut boleh menambahkan konteks kepada apa-apa kandungan yang diperlihatkan pada platform tersebut.

Ciri Community Notes dilihat sangat membantu dalam menambahkan maklumat kepada ciapan-ciapan khususnya dari segi penambahan konteks, bukti samada ciapan tersebut benar ataupun salah dan sebagainya. Akan tetapi, salah satu isu mengenai Community Notes nampaknya ialah ia terlalu perlahan.

Oleh kerana ini, nampaknya pihak pembangun X telah merombak sedikit bagaimana penggunaan ciri ini dapat dipercepatkan dan telah memperkenalkan ciri Lightning Notes yang memanfaatkan 800 ribu pengguna dibawah program Community Notes yang akan membantu dalam memberikan konteks tepat kepada ciapan-ciapan Twitter dengan lebih cepat.

Menurut pihak X, yang mengatakan bahawa mereka telah menguji ciri ini, Lightning Notes boleh dikeluarkan dalam masa sepantas 14 minit 33 saat selepas nota Community Notes ditulis, dan 18 minit 20 saat selepas ciapan asal ditulis pada platform tersebut.

Ujian ini memperlihatkan bahawa Lightning Notes boleh diperlihatkan dalam masa beberapa belas minit sahaja sekiranya sebuah ciapan itu dilihat kurang tepat dan memerlukan pembetulan dari segi memberi konteks yang lebih tepat.

image is not available

Proses pengesahan Community Notes sebelum ini mengambil masa lebih dari sejam untuk dikeluarkan, dimana ia perlu melepasi proses pengesahan oleh pengguna-pengguna dengan akses Community Notes sebelum ia boleh dikeluarkan.

Pihak X tidak memberitahu bagaimana mereka telah mempercepatkan proses berkenaan fungsi Lightning Notes ini, tetapi jangkaan kami ialah ia adalah satu langkah untuk memperkenalkan notifikasi berkenaan sesuatu ciapan secara lebih pantas sebelum Community Notes yang lebih tepat dan mendalam diperkenalkan.

Walaupun begitu, nampaknya ciri ini sudahpun mula diperkenalkan untuk beberapa minggu, dengan pihak X mengatakan bahawa setakat ini, sebanyak 400 nota Lightning Notes telah mula diperkenalkan dalam masa kurang dari satu jam selepas ia ditulis, dan lebih dari 60 nota diperlihatkan dalam masa kurang dari satu jam selepas ciapan ditulis dan didapati telah viral.

Apabila sebuah ciapan didapati hadir dengan nota Lightning Notes, ia juga akan hadir dengan ikon berbentuk halilintar untuk memudahkan pengguna untuk membezakan samada ia adalah sebuah Lightning Note ataupun Community Note.