Grok adalah perkhidmatan kecerdasan buatan generatif xAI yang diintegrasikan pada X. Sehingga hari ini, akses kepada Grok terhad untuk pengguna X yang melanggan pelan Premium/Premium+. Grok bukan sahaja boleh menjana teks, menjawab pelbagai soalan, tetapi turut boleh menganalisa dan menjana imej kerana model Grok-2. Terbaru, Grok kelak turut boleh digunakan oleh pengguna percuma.

Pengguna percuma boleh menggunakan Grok dengan akses yang terhad. Untuk menjana kandungan berasaskan teks atau imej dengan model Grok-2, ia hanya boleh digunakan sebanyak 10 kali setiap 2 jam. 20 kali setiap 2 jam adalah untuk Grok-2 mini dan hanya 3 kali sehari untuk menganalisa imej. Grok versi percuma ini turut hanya boleh digunakan kepada pengguna dengan akaun yang sudah berusia lebih 7 hari dan mempunyai nombor telefon dipautkan ke akaun.
Membuka akses Grok secara percuma membuatkan X sedia bersaing dengan perkhidmatan chatbot AI lain di pasaran seperti ChatGPT, Google Gemini, Claude dan banyak lagi. Buat masa ini, ia hanya terhad kepada pengguna di New Zealand sahaja dan tidak pasti bila ia akan dikembangkan ke negara lain seperti Malaysia.
