Bersempena dengan acara Xiaomi Smart Home Showcase yang sedang berlangsung di pusat membeli-belah Setia City Mall, Xiaomi juga telah memperkenalkan sejumlah produk-produk baru untuk pasaran Malaysia.
Pertama ialah siri televisyen Xiaomi TV A Pro 65 2026. Hadir dalam pilihan 45, 55 dan 65 inci, televisyen pintar ini menggunakan panel QLED dan hadir dalam resolusi 4K dan mempunyai kadar segar semula 120Hz melalui mod Game Boost dan juga menyokong teknologi HDR untuk olahan warna yang bukan sahaja jitu, tetapi cukup terang untuk ruang tamu anda.

Siri televisyen Xiaomi TV A Pro 65 2026 ini juga menyokong teknologi audio Dolby Audio dan DTS:X terbina, yang menjanjikan pengalaman pendengaran yang mendalam walaupun dengan pembesar suara terbina sahaja.
Sokongan untuk sistem operasi Google TV juga membolehkan anda mengakses semua platform penstriman video kegemaran anda di hujung jari dengan cepat dan mudah tanpa memerlukan sebarang aksesori tambahan.

XIaomi Sound Party juga akan hadir untuk pasaran tempatan. Pembesar suara padat ini boleh dipadankan kepada peranti-peranti anda melalui sambungan Bluetooth dan menggabungkan subwoofer 35W dengan pemandu audio 15W bersama teknologi audio Harman AudioEFX untuk memberikan anda audio yang bukan sahaja lantang, tetapi juga berkualiti tinggi.
Pembesar suara ini hadir dengan teknologi True Wireless Sound yang membolehkannya digandingkan dengan sebuah lagi pembesar suara Sound Party untuk kelantangan audio yang lebih kuat. Dengan bateri yang cukup besar untuk membolehkannya digunakan selama 26 jam, pembesar suara ini juga hadir dengan fungsi pengecasan dan pengecasan berbalik (reverse charging) pantas, membolehkannya digunakan juga sebagai sebuah power bank untuk pengecasan peranti pintar anda.

Paparan skrin Xiaomi 4K Monitor A27Ui pula adalah paparan skrin komputer yang sesuai untuk pejabat dan juga ruangan gaming PC anda. Ia menggunakan panel IPS bersaiz 27 inci dengan resolusi 4K dengan sudut pandangan 178 darjah dan boleh mengolah 95 peratus gamut warna DCI-P3 dengan Delta E<1 untuk olahan warna yang jitu.
Sebagai sebuah paparan produktiviti, paparan skrin ini juga tampil dengan palam USB Type-C yang hadir dengan sokongan pengecasan 90W yang cukup berkuasa untuk mengecas pelbagai jenis komputer riba nipis dan ringan yang berkuasa, seperti MacBook Pro dan sebagainya.

Xiaomi Malaysia juga telahpun memperlihatkan tanda harga untuk produk-produk ini seperti berikut:
- Xiaomi TV A Pro 65 2026 (45 inci) – RM1199
- Xiaomi TV A Pro 65 2026 (55 inci) – RM1799
- Xiaomi TV A Pro 65 2026 (65 inci) – RM2499
- Xiaomi TV A Pro 65 2026 (75 inci) – RM3499
- Xiaomi Sound Party – RM349 (Akan datang)
- Xiaomi 4K Monitor A27Ui – RM1099


