Xiaomi Smart Band 11 dilancarkan di China hujung minggu lalu dengan penjejak kesihatan ini mempunyai ketahanan bateri sehingga 21 hari. Ia dilengkapi skrin 1.72″ AMOLED berbentuk bujur serta bezel yang nipis. Tubuh juga lebih nipis hanya 9.99mm dan berat pula hanya 5.58 gram.

Seperti Xiaomi Band sebelum ini, Smart Band 11 boleh menjejak nadi, oksigen dalam darah, stres, kitaran haid dan penjejakan tidur. Selain itu 150 aktiviti sukan juga boleh dijejak. Ia ditawarkan dengan tali diperbuat daripada bahan TPU serta seramik dan logam. Keseluruhan tubuh kalis air sehingga tekanan 5 ATM.

Terdapat versi yang menyokong NFC. Sistem operasi yang digunakan adalah HyperOS 4 dengan Smart Band 11 boleh ditambat kepada peranti Android serta iOS. Secara keseluruhan Xiaomi Smart Band 11 ialah penjejak kesihatan dengan skrin lebih besar serta binaan lebih premium berbanding Xiaomi Smart Band 11 Active yang dilancarkan di Malaysia minggu lalu.
Di China Xiaomi Smart Band 11 dijual pada harga bermula RMB 289 (~RM174) untuk versi biasa dan RMB 399 (~RM240) untuk versi seramik serta logam.




