Produk yang turut diumumkan hari ini ialah Xiaomi Watch 5. Jam pintar ini hadir dengan rangka keluli tahan karat serta skrin AMOLED bersaiz 1.54 inci beresolusi 480 × 480 piksel dengan kecerahan puncak sehingga 1500 nits. Skrin tersebut dilindungi kaca nilam bertujuan untuk memberikan ketahanan yang lebih baik.

Jam pintar ini juga dijana oleh cip Snapdragon W5 Gen 1 yang digandingkan dengan pemproses BES2800, di samping bateri 930mAh dengan teknologi Xiaomi Surge Battery yang menyokong pengecasan magnetik. Ia turut menawarkan ketahanan air 5ATM serta hadir dengan memori 2GB bersama storan dalaman 32GB.

Xiaomi Watch 5 turut dilengkapi dengan pelbagai sensor termasuk PPG, accelerometer, sensor cahaya ambien, kompas elektronik, barometer serta EMG sekali gus menjadikannya menyeluruh dalam fungsi kesihatan dan kecergasan. Di Malaysia, jam pintar ini ditawarkan dalam pilihan warna Black dan Juniper Green pada harga jualan RM1,199.
