
Ada satu perkara yang semakin jelas dalam kem Yamaha dan ini bukan sekadar musim mencabar, ini musim reset penuh. Pengakuan Massimo Meregalli bahawa pembangunan projek V4 adalah sesuatu yang lebih sukar daripada jangkaan beliau sebenarnya membuka gambaran lebih besar tentang apa yang sedang berlaku di belakang tabir Pasukan Monster Energy Yamaha MotoGP.
Peralihan daripada enjin inline-4 kepada konfigurasi V4 pada Yamaha YZR-M1 bukan sekadar menukar falsafah enjin, ia mengubah keseluruhan DNA jentera. Seperti yang didedahkan oleh Augusto Fernandez, jentera V4 kini adalah 30% berbeza berbanding jentera inline-4, tetapi masih tidak mencukupi untuk kedepan. Itu ayat yang cukup tepat untuk menggambarkan keadaan sebenar yang mana jentera banyak berubah, tetapi resepi belum menjadi.
Di atas kertas, langkah Yamaha selari dengan trend grid iaitu semua pengeluar utama menggunakan enjin V4. Namun realitinya, mengejar sesuatu yang pesaing sudah lama kuasai bukan kerja mudah. Di litar lurus, kelebihan kuasa masih belum cukup untuk menyaingi jentera Eropah. Di litar teknikal seperti Jerez pula, isu ‘front-end feeling’ yang sebelum ini menjadi kekuatan utama Yamaha kini hilang, seperti turut dibangkitkan Fabio Quartararo.
Statistik awal musim juga tidak membantu. Hanya 14 mata dalam empat pusingan pertama berbanding 42 mata pada tempoh sama musim lalu menunjukkan kemerosotan yang ketara. Malah, situasi ini turut memberi kesan kepada struktur pasukan apabila Quartararo memilih haluan baharu, manakala Yamaha sedang membina semula masa depan dengan mendapatkan Jorge Martin dan Ai Ogura untuk 2027.
Apa yang kita lihat sekarang adalah fasa pembinaan semula yang sebenar, too painful, jentera sangat perlahan tetapi jika dilihat dari segi lain, ianya perlu terjadi. Yamaha mungkin tidak berada dalam perlumbaan kejuaraan musim ini, tetapi setiap data yang dikumpul adalah pelaburan untuk kebangkitan jangka panjang. Persoalannya, sejauh mana kesabaran itu mampu bertahan sebelum tekanan mula mengatasi apa yang dirancang?
Teruskan bersama Two Wheels..!
The post Yamaha ‘Salah Kira’? Projek V4 Jadi Lebih Sukar, Quartararo Angkat Kaki! appeared first on TW Media.





