
SUNGAI BURONG, 29 OGOS: Yayasan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI (Yayasan MBI) bersedia menghulurkan bantuan kepada rakyat Selangor yang terlibat dalam kejadian banjir kilat dan tanah runtuh di Nepal.
Ketua Yayasan MBI Ahmad Azri Zainal Nor berkata pihaknya kini menunggu maklumat lanjut berhubung identiti mangsa dari Selangor yang terlibat dalam bencana berkenaan.
Menurutnya, Pejabat Dato' Menteri Besar Selangor sedang mendapatkan maklumat daripada pihak berkaitan di luar negara bagi mengenal pasti mangsa terlibat.
“Di peringkat Pejabat Dato’ Menteri Besar, saya difahamkan mereka pun sedang mendapatkan maklumat dari Kementerian Luar bagi mengenal pasti senarai mangsa negeri Selangor.
“Kita di Yayasan MBI sentiasa bersedia termasuk membantu urusan membawa pulang mangsa atau keluarga mereka yang berada di negeri ini,” katanya ketika ditemui Media Selangor hari ini.

Ahmad Azri berkata, bentuk bantuan yang boleh disalurkan termasuk urusan membawa pulang mangsa sekiranya diperlukan atau bantuan kepada mereka di lokasi kejadian.
“Bagaimana proses bawa balik atau proses bantuan di sana, hal ini akan diteliti oleh Pejabat Dato’ Menteri Besar. Selepas mendapat data itu nanti, insya-Allah kita akan fikirkan bagaimana bantuan yang kita boleh laksanakan,” katanya.
Beliau menegaskan Yayasan MBI sentiasa bersedia membantu rakyat Selangor yang berdepan musibah, termasuk mereka yang terlibat dalam bencana di luar negara.
“Ya, kita sedia untuk bantu dan ini bukan kali pertama. Banyak kali kita berusaha membantu rakyat Selangor yang ada masalah, terlibat dengan bencana termasuk di luar negara,” katanya.
Banjir besar dan tanah runtuh berlaku di kawasan sempadan Nepal-China Rabu lalu, termasuk menjejaskan lintasan sempadan Pelabuhan Gyirong di Daerah Gyirong, China.
Angka kematian akibat banjir kilat dan tanah runtuh di Nepal mencecah 623 orang hari ini, ketika pasukan mencari dan menyelamat terus menemukan mayat yang dihanyutkan arus deras sungai, lapor Anadolu Ajansi.
Polis Nepal mengesahkan bahawa mereka telah menemukan 616 mayat, termasuk 233 di Chitwan dan 158 di Nawalparasi Timur, menjadikannya antara kawasan paling teruk terjejas akibat bencana itu.






