YB, sudah menang jangan pula lupakan pengundi

LocalPolitics
16 Nov 2026 • 8:00 AM MYT
Kosmo Online
Kosmo Online

Hub berita berintegriti dan sensasi dalam dan luar negara.

Image from: YB, sudah menang jangan pula lupakan pengundi

Keputusan Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka sekali lagi membuktikan bahawa kuasa menentukan masa depan sesebuah negeri terletak di tangan rakyat.

Mereka yang keluar mengundi bukan sekadar memilih calon atau parti politik, sebaliknya memberikan kepercayaan kepada individu yang dianggap mampu membawa perubahan dan memperjuangkan nasib mereka.

Justeru, kemenangan yang diperoleh bukanlah sekadar kejayaan politik, tetapi amanah besar yang perlu dipikul dengan penuh tanggungjawab.

Sepanjang tempoh berkempen, pelbagai janji dan tawaran dikemukakan bagi memikat hati pengundi. Ada yang menjanjikan pembangunan infrastruktur, peluang pekerjaan, rumah mampu milik, bantuan kebajikan serta penyelesaian terhadap masalah kos sara hidup.

Semua itu pastinya menjadi harapan rakyat yang mahukan kehidupan lebih baik. Namun persoalan sekarang, sejauh manakah janji-janji tersebut mampu diterjemahkan menjadi kenyataan selepas kemenangan diperoleh?

Jangan sampai manifesto yang sebelum ini menjadi modal berkempen hanya tersimpan di dalam laci selepas kerajaan dibentuk. Rakyat tidak mahu mendengar lagi pelbagai alasan apabila janji yang ditaburkan gagal ditunaikan.

Pengundi sudah memberikan mandat, maka menjadi tanggungjawab kerajaan dan wakil rakyat untuk membuktikan bahawa kepercayaan itu tidak diberikan secara sia-sia. Kemenangan bukan penamat perjuangan, sebaliknya permulaan kepada kerja sebenar.

Dalam konteks Melaka, isu berkaitan kos kehidupan, peluang pekerjaan untuk anak muda, kemudahan perumahan, kesesakan lalu lintas, kerosakan jalan dan masalah banjir kilat perlu diberikan perhatian.

Pembangunan negeri juga tidak seharusnya hanya tertumpu di kawasan bandar atau lokasi tumpuan pelancong, sebaliknya perlu dinikmati penduduk di kampung serta golongan berpendapatan rendah.

Pada masa sama, wakil rakyat yang dipilih jangan hanya muncul ketika musim pilihan raya. Budaya turun padang, mendengar aduan dan menyelesaikan masalah penduduk perlu diteruskan sepanjang tempoh lima tahun.

Kerajaan negeri pula perlu menetapkan sasaran yang jelas bagi setiap janji yang dikemukakan. Rakyat berhak mengetahui apa yang akan dilaksanakan dalam tempoh 100 hari, setahun dan sepanjang penggal pentadbiran.

Kejayaan sesebuah kerajaan bukan diukur berdasarkan banyaknya majlis pelancaran, pengumuman peruntukan atau slogan pembangunan, sebaliknya sejauh mana hasilnya dapat dirasai oleh masyarakat.

Jangan sekadar pandai mengumumkan projek, tetapi pelaksanaannya pula mengambil masa bertahun-tahun tanpa perkembangan yang meyakinkan Hakikatnya, rakyat tidak akan selama-lamanya menilai wakil rakyat berdasarkan poster, slogan dan janji manis ketika berkempen.

Mereka akan melihat hasil kerja, kesungguhan serta keprihatinan sepanjang tempoh pentadbiran. Jika amanah ditunaikan, kepercayaan akan terus diberikan sampai bila-bila.

Ingatlah, kemenangan datang daripada undi rakyat dan kuasa itu juga boleh ditarik semula oleh rakyat. Sudah menang, jangan pula lupa pengundi!

The post YB, sudah menang jangan pula lupakan pengundi appeared first on Kosmo Online.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved