
SANAA: Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) memberi amaran serangan kumpulan Houthi disokong Iran yang menyasarkan wilayah kaya minyak di Yemen bakal mengheret negara ke kancah konflik berdarah yang lebih buruk dan merumitkan lagi ketegangan di Asia Barat.
Kumpulan Houthi disokong Iran melancarkan peluru berpandu balistik dan dron ke wilayah strategik Yemen mengorbankan sekurang-kurangnya 10 orang pada Jumaat. Sumber tentera Yemen memberitahu AFP serangan terbaharu di Marib mengorbankan lapan anggota pasukan kerajaan dan mencederakan 12 yang lain.
Menteri Kesihatan kerajaan Yemen yang disokong Arab Saudi berkata, kumpulan pemberontak itu turut membedil kawasan perumahan dan kem penempatan penduduk yang kehilangan tempat tinggal di bandar Marib, menyebabkan sekurang-kurangnya dua orang awam terbunuh dan 14 lagi cedera.
Houthi berkata, mereka menyasarkan pasukan yang disokong Arab Saudi, depoh, kenderaan serta peralatan ketenteraan di kem Sahn al-Jinn di bandar itu menggunakan peluru berpandu dan dron.
Menurut agensi berita negara SABA yang memetik pihak berkuasa tempatan, serangan itu berlaku sehari selepas sekurang-kurangnya 58 anggota tentera kerajaan Yemen terbunuh dalam serangan ke atas kem tentera di wilayah Marib dan Hadramawt, menurut sumber kerajaan.
Ia merupakan antara peningkatan keganasan paling dahsyat dalam beberapa bulan kebelakangan ini.
Houthi turut mengaku bertanggungjawab terhadap serangan pada Khamis itu, mendakwa mereka menyasarkan penempatan tentera Arab Saudi di kedua-dua wilayah.
Katanya, tindakan itu dibuat selepas mengesan peningkatan besar-besaran kehadiran tentera Arab Saudi sebagai persediaan untuk melancarkan serangan terhadap kawasan yang dikuasai kumpulan itu.
Utusan Khas Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) bagi Yemen, Hans Grundberg turut menyatakan kebimbangan berhubung serangan tersebut.
Beliau berkata, serangan terbaharu di Marib dan Hadramawt bersama serangan yang kembali berlaku terhadap kapal komersial di Laut Merah dan Teluk Aden, menyebabkan Yemen kini berdepan risiko tertinggi untuk kembali kepada konflik berskala besar sejak gencatan senjata yang diusahakan PBB pada April 2022.
Beliau menggesa semua pihak supaya mengamalkan kawalan maksimum dan menyertai rundingan yang diterajui PBB. Grundberg turut memberi amaran keganasan itu berisiko mengheret Yemen lebih jauh ke dalam konflik serantau yang lebih meluas.
Houthi mengisytiharkan sekatan laut terhadap Arab Saudi di Laut Merah pada bulan lalu sebagai tindak balas terhadap apa yang didakwa mereka sebagai kepungan terhadap Yemen, namun dakwaan itu dinafikan Riyadh.
Arab Saudi mengetuai pakatan ketenteraan yang menyokong kerajaan Yemen yang diiktiraf masyarakat antarabangsa sejak 2015, selepas Houthi merampas ibu negara Sanaa pada 2014. Perang tersebut memusnahkan Yemen dan mencetuskan antara krisis kemanusiaan terburuk di dunia.-AFP
The post Yemen hampiri konflik lebih besar appeared first on Utusan Malaysia.





