Yinson langsaikan pinjaman FPSO Atlanta berjumlah AS$255 juta

Business & Finance
7 Aug 2025 • 2:44 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Yinson langsaikan pinjaman FPSO Atlanta berjumlah AS$255 juta

image is not available

07/08/2025 - 14:44

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 7 Ogos – Yinson Production telah melangsaikan sepenuhnya pinjaman projek utama yang berkait dengan kapal pengeluaran, penyimpanan dan pemunggahan terapung (FPSO) Atlanta daripada Brava Energia SA yang berpangkalan di Brazil.

Yinson berkata, syarikat itu telah membayar kira-kira AS$255.5 juta secara tunai bagi melunaskan prinsipal pinjaman yang asalnya berjumlah AS$408.8 juta, selain AS$1.9 juta bagi faedah terkumpul.

“Keseluruhan pembayaran tersebut dibiayai menggunakan rizab tunai sedia ada Yinson Production tanpa sebarang pembiayaan luar tambahan.

“Transaksi ini mengukuhkan lagi kedudukan kewangan kami dan memberikan lebih fleksibiliti untuk mendapatkan pembiayaan baharu bagi FPSO Atlanta pada masa hadapan,” katanya dalam kenyataan.

Yinson memperoleh FPSO Atlanta daripada syarikat Brazil, Brava Energia SA pada tahun 2023 menerusi pelaksanaan opsyen pembelian yang dipersetujui sebelum ini.

Kapal tersebut kini beroperasi di bawah kontrak selama 15 tahun dengan pilihan lanjutan selama lima tahun lagi.

FPSO Atlanta telah memulakan pengeluaran minyak pada 31 Disember 2024, dengan baki nilai kontrak semasa dianggarkan berjumlah AS$2 bilion.

Kapal ini merupakan salah satu daripada 11 kapal dalam armada global Yinson yang kini menjalankan operasi di 11 buah negara dengan nilai pesanan terkumpul melebihi AS$19 bilion.

Yinson Production merupakan anak syarikat milik penuh Yinson Holdings Bhd, kumpulan berpangkalan di Malaysia yang terlibat dalam bidang tenaga luar pesisir, tenaga boleh diperbaharui dan teknologi hijau. - DagangNews.com

standard