Kimlun rancang penempatan persendirian RM40 juta kukuhkan modal kerja

05/08/2025 - 14:38
Pinegate Residency, antara projek Kimlun di Johor Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN
KUALA LUMPUR 5 Ogos – Kimlun Corp Bhd merancang untuk meraih sehingga RM40.64 juta menerusi cadangan penempatan saham persendirian bagi memenuhi keperluan modal kerja syarikat, khususnya membiayai pembangunan projek hartanah utama di Johor.
Cadangan itu melibatkan penerbitan sehingga 35.34 juta saham baharu, bersamaan kira-kira 10 peratus daripada jumlah saham terbitan sedia ada.
“Harga terbitan akan ditentukan kemudian dan saham-saham akan diperuntukkan kepada pelabur pihak ketiga bebas yang belum dikenal pasti,” kata Kimlun dalam kenyataan.
Berdasarkan anggaran harga RM1.15 sesaham iaitu diskaun 10 peratus daripada purata harga dagangan wajaran volum (VWAMP) lima hari sebanyak RM1.2774, penempatan itu dijangka menjana hasil kasar maksimum RM40.64 juta.
Daripada jumlah itu, sebanyak RM30 juta diperuntukkan kepada perbelanjaan pembangunan hartanah, terutamanya bagi projek Pinegate Residency Fasa 1 yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) RM320 juta.
Sebahagian lagi akan digunakan untuk projek Arden Residence (GDV RM800 juta) dan Pinegate Residency Fasa 2 (GDV RM330 juta).
Selebihnya, RM7 juta akan digunakan untuk kos kakitangan, manakala RM3 juta lagi diperuntukkan kepada aktiviti pemasaran dan perbelanjaan operasi seperti bahan api diesel, utiliti dan kos pentadbiran.
Kimlun menjangkakan penempatan saham itu akan selesai menjelang suku ketiga tahun ini dengan RHB Investment Bank bertindak sebagai penasihat utama dan ejen penempatan bagi urus niaga tersebut.
Bagi suku pertama tahun kewangan berakhir 31 Mac 2025 (1QFY2025), syarikat mencatat lonjakan untung bersih kepada RM25.2 juta, berbanding hanya RM537,000 bagi tempoh sama tahun lalu, disokong oleh sumbangan lebih kukuh daripada semua segmen perniagaan.
Pendapatan turut melonjak lebih dua kali ganda kepada RM459.71 juta, daripada RM205.06 juta sebelumnya.
Sehingga akhir Mac 2025, Kimlun mencatatkan baki tunai dan setara tunai sebanyak RM45.69 juta.
Namun, syarikat masih mencatat jumlah pinjaman keseluruhan sebanyak RM725.17 juta, termasuk RM481.77 juta hutang jangka pendek.- DagangNews.com
standard

