Ajiya jual dua tanah industri RM51.9 juta di Nilai fokus perluasan perniagaan

LocalBusiness & Finance
5 Aug 2025 • 9:48 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Ajiya jual dua tanah industri RM51.9 juta di Nilai fokus perluasan perniagaan

image is not available

05/08/2025 - 09:48

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 5 Ogos – Ajiya Bhd, pengeluar produk bumbung logam dan kaca keselamatan, mengambil langkah strategik untuk memperkukuh kedudukan kewangannya menerusi pelupusan dua bidang tanah industri di Nilai, Negeri Sembilan dengan nilai keseluruhan RM51.94 juta.

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Ajiya berkata, pelupusan tersebut melibatkan dua anak syarikat milik penuhnya iaitu Ajiya Safety Glass Sdn Bhd dan Asia Roofing Industries Sdn Bhd yang telah memeterai dua perjanjian jual beli berasingan bagi urus niaga tersebut.

“Kedua-dua tanah berkeluasan gabungan 6.4 hektar itu terletak di Hamilton Industrial Park dan masih berstatus hak milik di bawah Sime Darby Property (Nilai) Sdn Bhd sementara menunggu proses pemindahan hak milik selesai.

“Menerusi transaksi pertama, Ajiya Safety telah menjual sebidang tanah seluas 3.69 hektar kepada Kumkang Kind (M) Sdn Bhd dengan harga tunai RM29.76 juta, manakala Asia Roofing menjual sebidang lagi tanah berkeluasan 2.71 hektar kepada H H Hardware Sdn Bhd dengan harga RM22.18 juta,” katanya.

Kedua-dua harga jualan itu adalah lebih tinggi berbanding nilai pasaran masing-masing seperti yang dinilai oleh CBRE WTW Valuation & Advisory Sdn Bhd iaitu RM27.9 juta dan RM20.4 juta.

“Dana hasil pelupusan ini akan meningkatkan kedudukan tunai kumpulan dan memperkukuh fleksibiliti kewangan, membolehkan kami memenuhi keperluan modal kerja serta menyokong pelan pengembangan strategik perniagaan,” kata Ajiya.

Kumpulan merancang untuk menggunakan hasil jualan tersebut dalam tempoh 24 bulan akan datang, terutamanya bagi keperluan modal kerja dan pembangunan perniagaan, walaupun agihan tepat masih belum dimuktamadkan.

Ajiya turut menjangkakan keuntungan kasar pro forma kira-kira RM2.86 juta daripada pelupusan tanah pertama dan RM2.51 juta bagi pelupusan tanah kedua.

Keseluruhan urus niaga dijangka selesai menjelang suku keempat tahun 2025.- DagangNews.com

standard