Yinson sertai program EVolve kendalian Saxon Renewables untuk jana kredit karbon menerusi penggunaan EV

LocalEnvironment
3 Nov 2026 • 6:21 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Yinson sertai program EVolve kendalian Saxon Renewables untuk jana kredit karbon menerusi penggunaan EV Image from: Yinson sertai program EVolve kendalian Saxon Renewables untuk jana kredit karbon menerusi penggunaan EV liza03/11/2026 - 18:21 Menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak akan memberi tumpuan kepada penyertaan infrastruktur pengecasan yang layak dalam program EVolve, selain memperkukuh sistem pengumpulan data dan pemantauan bagi membolehkan pengurangan pelepasan karbon disahkan secara bebas Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN liza@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 3 Nov – Yinson GreenTech bekerjasama dengan Saxon Renewables bagi menjana kredit karbon melalui aktiviti berkaitan kenderaan elektrik (EV) yang akan menyokong pembangunan pasaran karbon dan peralihan kepada mobiliti elektrik di Malaysia.

 

Kerjasama itu dimeterai menerusi Perjanjian Penyertaan (Participation Agreement) bagi membolehkan Yinson GreenTech menyertai EVolve iaitu program karbon yang menggabungkan beberapa rangkaian kemudahan pengecasan EV di bawah satu projek berdaftar dengan piawaian Verified Carbon Standard (VCS) kendalian Verra.

 

Projek berkenaan didaftarkan pada November 2025 dengan nombor pengenalan VCS Project ID 5416 dan membolehkan infrastruktur pengecasan yang memenuhi syarat dimasukkan di bawah satu projek untuk menjana kredit karbon, tertakluk kepada proses pengesahan.

 

Perjanjian itu ditandatangani di pejabat Yinson di Kuala Lumpur oleh Pengarah Urusan Pengecasan dan Penyewaan EV Yinson GreenTech, Kelvin Soon serta Pengarah Urusan Saxon Renewables, Reik Ong.

 

Majlis berkenaan turut disaksikan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Yinson Holdings Berhad, CY Lim dan Pengarah Piawaian dan Pensijilan Perbadanan Teknologi Hijau dan Perubahan Iklim Malaysia (MGTC), Sabihah Salleh.

 

Pengurangan pelepasan karbon diiktiraf melalui pasaran karbon

Menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak akan memberi tumpuan kepada penyertaan infrastruktur pengecasan yang layak dalam program EVolve, selain memperkukuh sistem pengumpulan data dan pemantauan bagi membolehkan pengurangan pelepasan karbon disahkan secara bebas.

 

Proses berkenaan akan menjadi asas kepada pengeluaran kredit karbon, yang mencerminkan pengurangan pelepasan gas rumah kaca hasil aktiviti berkaitan penggunaan kenderaan elektrik berbanding kenderaan berasaskan bahan api.

 

Yinson GreenTech turut merancang memperluas akses kepada kemudahan pengecasan dan meningkatkan penggunaan kenderaan elektrik dalam operasi armadanya selain meneroka pelaksanaan program itu dalam portfolio mobiliti elektrik kumpulan yang lebih luas.

 

Pengarah Urusan Pengecasan dan Penyewaan EV Yinson GreenTech, Kelvin Soon berkata, setiap perjalanan menggunakan tenaga elektrik berbanding bahan api menghasilkan pengurangan pelepasan yang boleh diukur dan wajar diiktiraf sebagai nilai iklim.

 

Beliau berkata, penyertaan dalam program EVolve membolehkan nilai berkenaan dimanfaatkan bagi menyokong pembangunan rangkaian pengecasan yang lebih luas serta penyelesaian elektrifikasi armada kepada pelanggan.

 

Gabung kepakaran pembangunan projek karbon dan rangkaian EV

Sementara itu, Pengarah Urusan Saxon Renewables, Reik Ong berkata, peralihan Malaysia kepada mobiliti elektrik membuka peluang untuk mengiktiraf manfaat iklim tambahan yang terhasil daripada penggunaan infrastruktur pengecasan EV.

 

Menurutnya, menerusi EVolve, manfaat pengurangan pelepasan karbon yang boleh diukur itu dapat diterjemahkan kepada kredit karbon yang mempunyai pengesahan dan seterusnya membantu menyokong pelaburan lanjut dalam infrastruktur kenderaan elektrik.

 

Saxon Renewables mempunyai pengalaman dalam pembangunan projek karbon di seluruh Asia, manakala Yinson GreenTech menyumbang rangkaian operasi kenderaan elektriknya bagi menyokong pelaksanaan program berkenaan.

 

Gabungan kepakaran kedua-dua pihak itu dijangka membolehkan kredit karbon berintegriti tinggi dijana berdasarkan data operasi yang boleh disahkan, selain menunjukkan sumbangan sektor EV Malaysia kepada pasaran karbon serantau. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved