KPK bincang pengecualian duti eksport sawit dengan MOF, industri tempatan mula jana kredit karbon global

LocalBusiness & Finance
29 Oct 2026 • 3:34 PM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

KPK bincang pengecualian duti eksport sawit dengan MOF, industri tempatan mula jana kredit karbon global Image from: KPK bincang pengecualian duti eksport sawit dengan MOF, industri tempatan mula jana kredit karbon global sarah29/10/2026 - 15:34 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 29 Okt - Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) telah mengadakan perbincangan dengan pemain industri dan Kementerian Kewangan (MOF) berhubung cadangan pengecualian duti eksport minyak sawit mentah (CPO), susulan saranan supaya duti berkenaan ditangguhkan sementara bagi merangsang eksport.

 

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Dr. Noraini Ahmad berkata, sesi libat urus pada 20 Oktober 2026 itu turut melibatkan persatuan industri, syarikat perladangan dan pengendali logistik bagi mendapatkan pandangan mengenai cadangan tersebut.

 

Beliau berkata, cadangan penangguhan duti eksport CPO selama tiga hingga lima bulan dibangkitkan oleh Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, bagi merangsang eksport, mengurangkan tekanan stok dan menyokong daya saing industri sawit.

 

Bagaimanapun, Noraini menjelaskan bahawa sebarang keputusan berhubung penetapan, pengecualian atau penangguhan duti eksport terletak di bawah bidang kuasa MOF dan tertakluk kepada penelitian serta dasar kerajaan yang berkuat kuasa.

 

“Kementerian akan bekerjasama dengan Kementerian Kewangan (MOF) dalam menyediakan input dan analisis ekonomi bagi menyokong pertimbangan dasar kerajaan,” katanya ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 peringkat dasar bagi kementeriannya di Dewan Rakyat, hari ini.

 

Pemain industri tempatan mula hasilkan 'biochar'

Dalam perkembangan berasingan, Noraini mendedahkan pemain industri tempatan telah memulakan penghasilan arang bio (biochar) daripada sisa sawit secara komersial, dengan sebahagiannya berjaya menjana dan mendaftarkan kredit penyingkiran karbon dioksida (CDR) di peringkat global.

 

Beliau berkata, sisa sawit seperti tandan buah kosong dan tempurung sawit boleh diproses menjadi arang bio, iaitu bahan kaya karbon yang berpotensi digunakan untuk memperbaiki tanah serta menyimpan karbon dalam tempoh panjang, sekali gus membuka peluang ekonomi baharu kepada industri sawit tempatan.

 

Menurutnya, pasaran kredit CDR turut berpotensi membuka peluang pendapatan tambahan kepada pekebun kecil melalui penggunaan sisa sawit dari ladang mereka, manakala ekosistem pasaran karbon domestik, termasuk Bursa Carbon Exchange (BCX), sedang diperkemaskan supaya selari dengan piawaian pensijilan CDR antarabangsa.

 

KPK kenal pasti 42,160 pekebun kecil

Sementara itu, KPK turut mengenal pasti anggaran 42,160 pekebun kecil dengan keluasan keseluruhan kira-kira 127,023 hektar dalam skop dua program tanam semula sawit bagi meningkatkan produktiviti industri.

 

Berdasarkan rekod Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), seramai 41,334 pekebun kecil melibatkan keluasan 105,172.67 hektar dikenal pasti dalam skop Skim Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) 2.0, manakala 826 pekebun kecil dengan keluasan 21,850.04 hektar bagi Pembiayaan Tanam Semula Sawit (PTSS).

 

Noraini berkata, TSPKS 2.0 menawarkan pembiayaan hibrid merangkumi 50% geran dan 50% pembiayaan, tertakluk kepada syarat skim, dengan had keluasan sehingga 6.5 hektar di Semenanjung Malaysia dan 10 hektar di Sabah serta Sarawak.

 

Bagi pekebun kecil yang memiliki kebun melebihi had tersebut, kerajaan menyediakan PTSS dengan peruntukan RM200 juta, manakala cadangan pemberian geran penuh dan bantuan pendapatan sementara kepada pekebun kecil masih tertakluk kepada kos pelaksanaan serta ketersediaan peruntukan kerajaan. - DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved