sarah29/10/2026 - 15:34 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 29 Okt - Sisa ladang sawit seperti tandan buah kosong dan tempurung sawit kini berpotensi menjadi sumber pendapatan tambahan kepada pekebun kecil menerusi penghasilan arang bio dan pasaran kredit karbon.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Noraini Ahmad berkata, pemain industri tempatan sudah memulakan penghasilan arang bio (biochar) daripada sisa sawit secara komersial, malah terdapat syarikat yang berjaya menjana serta mendaftarkan kredit penyingkiran karbon dioksida (CDR) di peringkat global.
Beliau berkata, arang bio merupakan bahan kaya karbon yang dihasilkan melalui pemprosesan bahan organik seperti sisa sawit, yang membolehkan karbon disimpan untuk tempoh panjang dan berpotensi menyumbang kepada usaha penyingkiran karbon dioksida daripada atmosfera.
Menurutnya, perkembangan itu membuka peluang ekonomi baharu kepada industri sawit, termasuk potensi pendapatan tambahan kepada pekebun kecil melalui penggunaan sisa biojisim daripada ladang mereka.
Dalam hubungan itu, ekosistem pasaran karbon domestik, termasuk Bursa Carbon Exchange (BCX), sedang diperkemaskan supaya selari dengan piawaian pensijilan CDR antarabangsa.
Noraini berkata demikian ketika menggulung perbahasan Belanjawan 2027 peringkat dasar bagi Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di Dewan Rakyat, hari ini.
Lebih 42,000 pekebun kecil dikenal pasti bagi program tanam semula sawit
Sementara itu, KPK mengenal pasti anggaran 42,160 pekebun kecil melibatkan keluasan keseluruhan 127,022.71 hektar dalam skop dua program tanam semula sawit bagi meningkatkan produktiviti industri.
Berdasarkan rekod Lembaga Minyak Sawit Malaysia (MPOB), seramai 41,334 pekebun kecil melibatkan 105,172.67 hektar dikenal pasti dalam skop Skim Pembiayaan Tanam Semula Pekebun Kecil Sawit (TSPKS) 2.0, manakala 826 pekebun kecil dengan keluasan 21,850.04 hektar bagi Pembiayaan Tanam Semula Sawit (PTSS).
Noraini berkata, TSPKS 2.0 menyediakan bantuan menerusi gabungan 50% geran dan 50% pembiayaan, tertakluk kepada syarat skim, manakala PTSS dengan peruntukan RM200 juta disediakan bagi pekebun kecil yang mempunyai keluasan kebun melebihi had kelayakan skim pertama.
Beliau berkata, kerajaan turut mengambil maklum cadangan supaya bantuan tanam semula diberikan dalam bentuk geran penuh serta bantuan pendapatan sementara kepada pekebun kecil, namun pelaksanaannya tertakluk kepada kos dan ketersediaan peruntukan kerajaan.
Cadangan pengecualian duti eksport sawit dibincang dengan MOF
Dalam perkembangan berasingan, KPK telah mengadakan sesi libat urus bersama Kementerian Kewangan (MOF) dan pemain industri pada 20 Oktober 2026 bagi mendapatkan pandangan berhubung cadangan pengecualian duti eksport minyak sawit mentah (CPO).
Perbincangan itu melibatkan persatuan industri, syarikat perladangan dan pengendali logistik susulan cadangan Ahli Parlimen Seputeh, Teresa Kok, supaya duti eksport CPO ditangguhkan sementara selama tiga hingga lima bulan bagi merangsang eksport, mengurangkan tekanan stok dan menyokong daya saing industri sawit.
Bagaimanapun, Noraini menjelaskan bahawa sebarang keputusan mengenai pengecualian atau penangguhan duti eksport terletak di bawah bidang kuasa MOF, manakala KPK akan menyediakan input dan analisis ekonomi bagi membantu pertimbangan kerajaan dengan mengambil kira kepentingan keseluruhan rantaian industri sawit, termasuk pekebun kecil.- DagangNews.com






