
Kota Kinabalu: Bekas Ketua Menteri Datuk Seri Yong Teck Lee, mengkritik Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) kerana membantu pihak berkuasa cukai Persekutuan memburu peniaga kecil, sedangkan Negeri Sabah dinafikan berbilion ringgit hasil perlembagaan yang sepatutnya diterima.
“Kenapa DBKK memainkan peranan sebagai pemungut cukai Persekutuan?” kata Yong dalam kenyataan di sini, Ahad, sambil mengecam kerjasama DBKK dengan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) yang menyasarkan penjaja kecil yang dilabelkan sebagai pembayar cukai “tidak aktif”.
Beliau berkata, LHDN telah mengutip RM5.7 bilion dari Sabah pada 2024 dan menyasarkan kutipan sebanyak RM6.2 bilion bagi 2025, dengan purata kutipan tahunan mencecah RM6 bilion.
window.googletag = window.googletag || {cmd: []};googletag.cmd.push(function() {googletag.defineSlot('/22826383987/dailyexpress_inline', [1, 1], 'gpt-passback').addService(googletag.pubads());googletag.enableServices();googletag.display('gpt-passback');});“Itu belum termasuk hasil cukai lain yang dikutip oleh Jabatan Kastam dan agensi-agensi Persekutuan lain di Sabah.
“Walaupun kutipan begitu besar, Sabah masih tidak menerima hak bahagian 40 peratus mengikut Perlembagaan, +yang sepatutnya berjumlah RM2.4 bilion daripada RM6 bilion hasil cukai tersebut. Sebaliknya, Sabah hanya menerima bayaran interim sebanyak RM600 juta, satu angka yang diambil entah dari mana,” katanya.
Yong berkata, tidak ada sebab langsung bagi Kerajaan Persekutuan untuk terus melengahkan pembayaran tahunan sekurang-kurangnya RM2 bilion kepada Kerajaan Sabah.
Katanya, penjaja dan perniagaan mikro yang disasarkan itu bukanlah golongan yang mengelak cukai secara besar-besaran, sebaliknya hanya peniaga kecil dan tidak formal yang sudah pun bergelut dengan peningkatan kos sara hidup, pemotongan subsidi dan penurunan kuasa beli.
“Menguatkuasakan pematuhan cukai dalam keadaan ekonomi sekarang, sedangkan RM2 bilion bahagian Sabah belum dikembalikan, hanya akan memburukkan lagi ketidakstabilan ekonomi dan merosakkan daya tahan ekonomi tempatan,” katanya.
Beliau menggesa DBKK supaya mengubah cara fikir dan tidak terus berpihak kepada penguatkuasaan LHDN Persekutuan sementara berbilion ringgit yang sepatutnya milik Sabah masih belum dibayar.
“DBKK tidak sepatutnya bercanggah dengan peranannya sebagai agensi kerajaan tempatan yang bertanggungjawab memajukan kehidupan rakyat di Kota Kinabalu,” katanya.
Yong berkata, selagi Kerajaan Persekutuan belum melaksanakan pemberian 40 peratus seperti yang termaktub tanpa penangguhan, penguatkuasaan cukai di rantau ini perlu dikaji semula, dihentikan jika perlu dan dipandu melalui perundingan bersama Kerajaan Sabah dan pertubuhan perniagaan di Sabah.



