'You will always be our little boy...’ Coretan penuh emosi bapa Meerqeen undang sebak, titip doa, pesanan buat anak sulung

LocalEntertainment
4 Jun 2026 • 11:00 PM MYT
SinarPlus
SinarPlus

SinarPlus is a portal based on News, Current Affairs and Lifestyle content

Image from: 'You will always be our little boy...’ Coretan penuh emosi bapa Meerqeen undang sebak, titip doa, pesanan buat anak sulung

KASIH seorang bapa pastinya tiada penghujung, apatah lagi apabila melihat anak sulung yang dahulunya dikendong kini sudah menginjak ke usia dewasa dan berjaya membina nama besar dalam industri hiburan tanah air.

Sempena hari ulang tahun kelahiran yang ke-25 pelakon popular, Meerqeen, satu hantaran penuh emosi dan kesyukuran daripada bapanya, Shaiful Izam menerusi Instagram, benar-benar menyentuh hati sesiapa sahaja yang membaca titipan doa tersebut.

Meerqeen atau nama penuhnya Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Izam merupakan anak sulung kepada pasangan Shaiful Izam dan Suraidah Yacob dan coretan indah itu jelas membuktikan betapa kuatnya ikatan kasih sayang serta sokongan padu sebuah keluarga di sebalik kejayaan bintang muda tersebut.

Image from: 'You will always be our little boy...’ Coretan penuh emosi bapa Meerqeen undang sebak, titip doa, pesanan buat anak sulung

Melalui perkongsian di akaun Instagram sepulmalek, Shaiful Izam meluahkan rasa hargai dan sempat mengimbau kembali momen indah serta pengorbanan si ibu ketika melahirkan permata hati pertama mereka itu.

Mengimbas semula memori lalu, si bapa menitipkan ucapan yang cukup mendalam buat anak lelakinya dengan berkata, "happy 25th birthday my boy, Muhammad Shameer Shauqeen.

"Macam mama cakap susahnya carry 1st baby ni, pregnant almost 10 bulan, 2 kali induce tapi amat berbaloi sakitnya," ungkapnya.

Sejak detik pertama dilahirkan, kehadiran Meerqeen diakui telah membawa seribu satu warna-warni dalam kehidupan mereka sekeluarga dan kini sebagai seorang anak seni, dia turut menyebarkan keindahan kepada dunia luar menerusi bakat yang dimilikinya.

Sebagai orang tua yang menyaksikan setiap fasa membesar, Shaiful Izam menyatakan rasa sangat bangga dengan apa yang telah dicapai oleh anaknya sekarang. "Ayah dan mama sangat bangga dengan apa yang dah jadi sekarang, seorang yang berbakat, penyayang, and full of heart," luahnya lagi.

Image from: 'You will always be our little boy...’ Coretan penuh emosi bapa Meerqeen undang sebak, titip doa, pesanan buat anak sulung

Kebanggaan  keluarga

Pada masa sama, dia menyifatkan usia 25 tahun itu bukan sekadar angka semata-mata, tetapi ia adalah satu peringatan tentang sejauh mana anaknya telah melangkah, bagaimana dia membesar dengan matang dan berapa banyak jiwa yang telah disentuh sepanjang perjalanan hidupnya.

Si ayah juga turut menitipkan pesanan bermakna agar Meerqeen terus berkarya, terus bermimpi dan jangan pernah takut untuk menjadi diri sendiri kerana dunia ini sebenarnya memerlukan lebih ramai lagi insan yang mempunyai jiwa yang baik seperti anaknya yang mesra dipanggil Abang.

Menutup bicara penuh syahdu tersebut, sang bapa sentiasa mendoakan yang terbaik agar ALLAH SWT melimpahkan rezeki, kesihatan, kebaikan dan kejayaan yang berpanjangan buat anak sulungnya itu dalam setiap urusan yang diceburi.

Dia juga mengingatkan anak lelakinya itu bahawa tidak kira berapa pun usia yang meningkat, Meerqeen akan sentiasa menjadi kebanggaan mereka sekeluarga.

Image from: 'You will always be our little boy...’ Coretan penuh emosi bapa Meerqeen undang sebak, titip doa, pesanan buat anak sulung

"Never forget, no matter how old you get, you will always be our pride, our joy, our little boy.

"We love you endlessly. Happy birthday, artist of our hearts," titipnya penuh makna.

Lelaki itu mengakhiri perkongsian dengan ungkapan kasih sayang tanpa penghujung yang pastinya menjadi azimat paling berharga untuk Meerqeen terus melangkah megah dalam dunia seni.