Hari ini YouTube melancarkan ciri carian baharu “Your Custom Feed” yang dikatakan boleh menyenaraikan kandungan yang lebih relevan dengan apa yang ingin dicari. Di laman Home, wujud pilihan baharu Your custom feed dan tulis apakah kandungan video yang ingin dicari.

Carian boleh dilakukan dalam bentuk prom panjang dengan pengguna boleh meletakkan topik, mood dan carian lebih terperinci. Contohnya ialah “paparkan video muzik daripada genre yang tidak saya tonton” atau “buat senarai main video untuk santai seperti di kedai kopi”.
Your Custom Feed kemudian akan memaparkan video yang hanya bertepatan dengan apa yang anda masukkan dalam prom yang diberikan. Ini berbeza dengan kotak carian YouTube semasa yang kadang kala akan memasukkan video yang tidak bertepatan dengan carian.
Ciri ini telah diperlihatkan di acara Google I/O beberapa minggu lalu tetapi hanya sekadar demo. Hari ini Your Custom Feed diberikan kepada pengguna aplikasi telefon dan versi web di Amerika Syarikat yang mengaktifkan ciri menyimpan sejarah tontonan.



