Apakah tahap kesabaran anda apabila iklan dipaparkan di skrin YouTube? Saya sebelum ini boleh bertahan 10 saat sahaja sebelum menanti butang “Skip Ad” boleh ditekan. Tetapi di Amerika Syarikat, pengguna mula melaporkan mereka dihidangkan iklan sepanjang 90 saat yang langsung tidak boleh dilangkau. Ini masa yang cukup untuk membuat segelas teh o panas di dapur.

Iklan hanya diberikan kepada sebilangan kecil pengguna dengan ia hanya dilihat apabila YouTube ditonton menggunakan TV. Walaupun iklan yang dipaparkan panjang, jumlah iklan yang dihidangkan semasa menonton video telah dikurangkan.
Maka ia membawa kepada soalan. Adakah anda memilih iklan lebih panjang tetapi sedikit atau iklan pendek tetapi beberapa kali mengganggu kandungan yang sedang ditonton. Saya tidak boleh menjawab soalan ini kerana sudah melanggan kepada Premium memandangkan walau sesaat iklan sekalipun membuatkan saya hilang sabar.

