YTL nafi laporan kaitkan pusat datanya dengan eksport cip AI kepada pelanggan China

LocalBusiness & Finance
20 Nov 2026 • 7:33 PM MYT
Scoop.my
Scoop.my

News You Can Use, Investigative Reports, Sports, Videos, and Analysis

Image from: YTL nafi laporan kaitkan pusat datanya dengan eksport cip AI kepada pelanggan China

KUALA LUMPUR - YTL menafikan laporan yang mendakwa pusat datanya di Johor terlibat dalam pemindahan cip Nvidia kepada pelanggan di China dan menyifatkan laporan yang mengaitkan kumpulan itu dengan kontroversi berkenaan sebagai spekulasi serta tidak berasas.

"Laporan berbentuk spekulasi dan tidak berasas itu sama sekali tidak benar.

"Pusat data YTL menyediakan perkhidmatan kolokasi di Johor kepada beberapa pelanggan global termasuk penyedia perkhidmatan awan berskala besar (hyperscaler) dari Amerika Syarikat (AS), menerusi pengaturan yang mematuhi undang-undang tempatan serta kawalan perdagangan AS,’’ katanya dalam kenyataan hari ini.

The New York Times pada Khamis melaporkan pusat data YTL Power di Johor didakwa digunakan oleh gergasi teknologi China, Alibaba, untuk mengakses cip Nvidia dari jarak jauh menerusi Megaspeed yang berpangkalan di Singapura dan anak syarikatnya di Malaysia, Speedmatrix.

Ia memberi gambaran bahawa gergasi teknologi China berkenaan mempunyai akses kepada perkakasan kecerdasan buatan (AI) canggih yang tertakluk kepada sekatan eksport AS.

Bagaimanapun, YTL berkata pihaknya bekerjasama rapat dengan Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) dalam pembangunan pusat datanya serta mematuhi semua keperluan pelaporan dan pengimportan yang berkaitan.

Syarikat itu berkata perkhidmatan kolokasi yang disediakan di pusat datanya merangkumi ruang, bekalan kuasa, sistem penyejukan dan sambungan rangkaian.

Selain itu, YTL berkata peraturan interim baharu yang dikeluarkan oleh Biro Industri dan Keselamatan, Jabatan Perdagangan AS berhubung akses jarak jauh kepada semikonduktor canggih tidak menjejaskan perkhidmatan kolokasi syarikat itu.

"Peraturan itu memberi tumpuan kepada pengimport GPU dan penyedia perkhidmatan pengkomputeran kepada pelanggan D:5," menurut YTL.

D:5 merujuk kepada kategori negara yang tertakluk kepada sekatan perdagangan AS.

Speedmatrix yang berpangkalan di Johor, anak syarikat kepada Megaspeed International yang beribu pejabat di Singapura, menjadi perhatian susulan dakwaan kaitan syarikat induknya dengan kemelut yang melanda Nvidia dan sektor AI.

Ia berikutan dakwaan hubungan sulit antara pengasas Nvidia yang juga Ketua Pegawai Eksekutifnya sejak sekian lama, Jensen Huang, dengan seorang individu yang didakwa sebagai perisik China.

Pada 13 November lalu, MITI dalam satu kenyataan berkata Speedmatrix, selaku penyewa, dibenarkan membawa masuk pelayan dan cip AI miliknya sendiri ke Malaysia untuk kegunaan operasinya. Ketika ini, kemasukan cip AI ke Malaysia tidak memerlukan permit atau lesen.

Bagaimanapun, MITI berkata permit daripada kementerian itu diperlukan bagi eksport, eksport semula, pemindahan kapal atau transit cip AI berprestasi tinggi keluaran AS dari atau melalui Malaysia.

MITI turut memaklumkan bahawa pihaknya sedang bekerjasama dengan Jabatan Kastam untuk menentukan sama ada mana-mana cip yang dibawa masuk ke Malaysia telah dieksport semula ke negara lain. - 20 November 2026

The post YTL nafi laporan kaitkan pusat datanya dengan eksport cip AI kepada pelanggan China appeared first on Scoop.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved