amree15/10/2026 - 11:20 Oleh AMREE AHMAD amree@dagangnews.com KUALA LUMPUR 15 Okt — Hospital Pakar Regency (RSH) dan Pusat Penjagaan Perubatan Regency (RMCC) memperkenalkan identiti baharu bagi mengukuhkan kedudukan dalam rangkaian penjagaan kesihatan serantau HMI Medical, seiring usaha memperluas kapasiti rawatan dan menarik ramai pesakit global.
Penjenamaan baharu menerusi logo HMI Spark itu menyatukan identiti kedua-dua kemudahan kesihatan berkenaan di Johor dengan rangkaian HMI Medical di Malaysia dan Singapura, sekali gus memperkukuh pengiktirafan jenama dalam pasaran penjagaan kesihatan rentas sempadan.
Langkah itu hadir ketika permintaan terhadap pelancongan perubatan terus berkembang. Malaysia menerima lebih 1.6 juta pelancong kesihatan pada 2024, dengan pendapatan RM2.7 bilion, manakala hasil pelancongan perubatan Johor meningkat 15% kepada RM48.55 juta pada separuh pertama 2025.
"Pada masa sama, RSH turut meningkatkan kapasiti keseluruhan kepada sehingga 500 katil menerusi perluasan hospital, termasuk penambahan pusat kanser komprehensif, wad pintar generasi baharu dan perkhidmatan pakar yang dipertingkatkan," katanya dalam kenyataan.
Ketua Pegawai Eksekutif RSH, Serena Yong berkata, identiti baharu itu mencerminkan komitmen kumpulan membangunkan ekosistem penjagaan kesihatan yang lebih bersepadu, khususnya bagi memenuhi peningkatan perjalanan perubatan rentas sempadan antara Johor dan Singapura.
Menurutnya, langkah perluasan hospital dan pengembangan RMCC akan memperkukuh akses kepada rawatan pakar dalam persekitaran hospital serta pesakit luar, selain membantu kumpulan dalam menyediakan perjalanan rawatan yang lebih lancar kepada pesakit.

Ditubuhkan pada 2009, RSH kini merawat lebih 200,000 pesakit setiap tahun dan merupakan satu-satunya hospital di Johor yang diluluskan untuk penggunaan MediSave di luar negara bagi kemasukan hospital dan pembedahan harian yang layak, tertakluk kepada syarat semasa.
"Sementara itu, RMCC yang dilancarkan pada 2024 akan dikembangkan sebagai hab penjagaan kesihatan sehenti, dengan perancangan menambah perkhidmatan pembedahan harian, endoskopi dan rawatan pesakit luar lain bagi melengkapi kemudahan hospital utama," katanya.
Selain perluasan fasiliti, HMI Medical memperuntukkan RM50 juta dalam tempoh lebih lima tahun menerusi Dana Pembangunan Tenaga Kerja Kesihatan HMI Malaysia 2030 bagi menyokong biasiswa, tajaan pendidikan dan penempatan klinikal untuk membangunkan tenaga kerja penjagaan kesihatan.
Pengarah Eksekutif Negara HMI Malaysia, Stanley Lam berkata, pelaburan dalam keupayaan klinikal, infrastruktur, teknologi dan bakat penjagaan kesihatan akan membantu kumpulan memenuhi permintaan serantau yang meningkat, di samping memperkukuh perkhidmatan kepada komuniti tempatan.
Prospek pasaran turut disokong hubungan Johor-Singapura yang semakin erat menerusi pembangunan Sistem Transit Aliran Johor Bahru–Singapura (RTS Link) dan Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), yang dijangka membuka peluang pergerakan pesakit rentas sempadan. - DagangNews.com





