
KUALA LUMPUR – Aksi kemuncak Warzone World Championship (WWC) di N9 Arena, Nilai malam Ahad benar-benar panas bila Pengasas Semboyan, Yusuf Azmi, tewas kepada petinju Indonesia, Yunus Martin, menerusi kemenangan technical knockout (TKO).
Aksi Awal Berapi, Yusuf Bermula Garang
Seawal pusingan pertama, Yusuf, 35, naik gelanggang dengan aura luar biasa, siap disambut sorakan padu penonton. Beberapa kombinasi tumbukan berjaya dilepaskan, tapi belum cukup untuk menjatuhkan Yunus.
Masuk pusingan kedua, strategi Yusuf yang ‘redah gear enam’ terlalu awal mula makan diri. Nafas makin pendek, rentak makin terganggu. Yunus, 30, pula semakin selesa mengutip mata dengan kombinasi yang lebih kemas dan bertenaga.
Keletihan Memakan Diri, Tuala Putih Jadi Penamat
Pusingan ketiga menyaksikan Yusuf semakin keletihan. Yunus terus menghukum dengan asakan bertali-arus sehingga Yusuf kelihatan terhuyung-hayang. Situasi makin kritikal memaksa pasukan Yusuf lempar tuala putih, menamatkan aksi dengan baki 22 saat.
Kemenangan ini jadi detik manis buat Yunus, meraih kemenangan sulungnya di bumi Malaysia.
WWC Dihimpit Kontroversi Sebelum Penganjuran
Sebelum ini, WWC turut mencuri tumpuan selepas penganjur dikritik kerana gimik pemasaran yang dianggap keterlaluan sehingga Kementerian Belia dan Sukan (KBS) memberi amaran untuk membatalkan kejohanan. Namun, seminggu lalu KBS dan Pesuruhjaya Sukan (PJS) akhirnya memberikan kelulusan untuk WWC diteruskan seperti dijadualkan. – The Malaysian Update
The post Yusuf Azmi Tewas TKO, Yunus Martin Raih Kemenangan Sulung di Malaysia appeared first on The Malaysian Update.
