
KOTA KINABALU: Buku catatan milik Allahyarham Zara Qairina Mahathir yang dirujuk sebagai ‘diari’ bukan diari harian dalam pengertian lazim, sebaliknya hanya buku coretan peribadi berkaitan persahabatan dan pengalaman bersama rakan-rakannya.
Ibunya, Noraidah Lamat, 46, ketika memberi keterangan pada prosiding inkues hari ini berkata anaknya mula menulis dalam beberapa buku catatan sekitar 2021 atas galakkan seorang guru Bahasa Melayu di Sekolah Kebangsaan Pantai, Sipitang bagi membantu memperbaiki dan mencantikkan tulisan tangannya.
“Zara mempunyai beberapa buku dan setiap satu dikaitkan dengan kawan tertentu dan kandungannya banyak berkisar tentang persahabatan dan pengalaman bersama kawan-kawan tersebut,” katanya ketika membaca penyataan saksi di hadapan Koroner Amir Shah Amir Hassan hari ini.
Saksi ke-82 itu berkata arwah kadangkala berkongsi buku berkenaan dan membenarkan rakan-rakannya meninggalkan catatan di dalamnya, selain dia sendiri pernah membaca secara ringkas yang disahkan sekadar kisah persahabatan.
Bagaimanapun dalam keterangannya, beliau mendedahkan Allahyarham pernah beberapa kali mengadu mengenai insiden buli, gangguan serta layanan kurang menyenangkan daripada pelajar lain sepanjang tinggal di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Agama (SMKA) Tun Datu Mustapha, Papar.
Beliau berkata, aduan itu dibuat sama ada ketika Zara Qairina menghubunginya melalui telefon atau apabila pulang ke rumah, termasuk mengenai pelajar senior yang tidak menyukainya selain melabelnya dengan beberapa gelaran antaranya ‘perasan cantik’, ‘sok-sok cantik’ dan ‘pick me’.
Noraidah berkata walaupun berdepan kejadian ejekan dan buli di asrama, Zara Qairina tidak pernah menunjukkan tekanan sebelum kejadian.
Mengimbau kali terakhir Zara Qairina pulang ke rumah pada 13 Julai 2025, Noraidah berkata anaknya kelihatan ceria dan normal dari segi emosi serta tingkah laku, walaupun perbualan mereka ketika itu menyentuh isu gangguan pelajar senior di asrama selain persiapan untuk kembali ke asrama.
Katanya kali terakhir beliau berjumpa Zara Qairina ialah pada hari sama ketika menghantarnya kembali ke asrama manakala panggilan terakhir daripada anaknya diterima pada 8.53 malam, 14 Julai 2025 .
Noraidah berkata pada 16 Julai, 4.37 pagi, beliau menerima panggilan daripada seorang guru yang memaklumkan Zara Qairina ditemukan ‘mengampai’ atau terlantar di lantai dan telah dibawa ke Hospital Queen Elizabeth 1 di sini.
Beliau berkata panggilan itu menyebabkan beliau terkejut, panik, sedih dan menangis memikirkan apa yang berlaku kepada anaknya serta bagaimana untuk ke hospital.
Noraidah berkata beberapa guru sekolah yang datang menemuinya di hospital dan di rumah bukan sahaja tidak menceritakan perkara sebenar mengenai insiden itu walaupun ditanya, malah seorang daripadanya sempat meminta agar kejadian berkenaan tidak ditularkan.
“Saya juga masih tidak pernah dimaklumkan mengenai siasatan dalaman yang dibuat oleh pihak sekolah tentang kejadian malam 15 Julai 2025. Saya hanya mengetahui tentang siasatan dalaman tersebut melalui inkues prosiding,” katanya.
Mengakhiri penyataan saksi yang dibacanya selama kira-kira 45 minit, Noraidah berkata beliau amat rapat dengan Zara Qairina dan sangat menyayangi anak tunggalnya itu.
Zara Qairina meninggal dunia di Hospital Queen Elizabeth pada 17 Julai 2025, sehari selepas pelajar Tingkatan Satu itu ditemukan dalam keadaan tidak sedarkan diri berhampiran longkang asrama sekolahnya pada awal pagi.-BERNAMA
The post Zara Qairina pernah mengadu dibuli – Ibu mangsa appeared first on Utusan Malaysia.






