Zen Hong pecah rekod SUKMA

19 Aug 2026 • 1:43 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Zen Hong pecah rekod SUKMA

SUBANG JAYA: Atlet menembak Pahang, Cheah Zen Hong menutup penampilan terakhirnya di Sukan Malaysia (SUKMA) dengan penuh bergaya apabila penembak Pahang itu mempertahankan emas acara 10 meter (m) Pistol udara individu sambil memecahkan rekod SUKMA miliknya sendiri di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan Subang, sebentar tadi.

Zen Hong mengumpul 236.8 mata untuk memperbaharui rekod 231.5 mata yang dilakarnya pada edisi Kuala Lumpur 2022, sekali gus menambah satu lagi pencapaian dalam kariernya di pentas temasya berkenaan.

Penembak berusia 20 tahun itu bagaimanapun tidak melalui saingan mudah apabila terpaksa mengejar rakan sepasukan, Ahmad Danial Hakim Abdul Razak, sebelum melakukan kebangkitan pada penghujung final.

Dua tembakan terakhir menjadi detik penentu buat Zen Hong apabila dia berjaya memintas Ahmad Danial Hakim untuk muncul juara dengan kelebihan 2.2 mata.

Ahmad Danial Hakim meraih perak selepas mengumpul 234.6 mata, manakala wakil Sarawak, Muhd Danial Lai melengkapkan podium dengan 213.3 mata.

Kejayaan itu turut membuka laluan buat Zen Hong untuk memburu pencapaian lebih besar sepanjang penampilan terakhirnya di SUKMA Selangor selepas sebelum ini mencipta sensasi di Sarawak 2024 dengan membolot tujuh emas daripada tujuh acara yang disertainya.

Momentum Pahang diteruskan dalam acara berpasukan apabila gandingan Zen Hong, Ahmad Danial Hakim dan Muhammad Zainal Azim Ahmad Mahmud mengumpul 1,687 mata untuk meraih emas.

Sarawak terpaksa berpuas hati dengan perak selepas mengumpul 1,676 mata, manakala tuan rumah Selangor meraih gangsa dengan 1,647 mata.

Kejayaan berganda itu meletakkan Zen Hong sebagai antara sandaran utama Pahang untuk menambah koleksi emas sepanjang temasya, selain menyuntik keyakinan untuk mengekalkan momentum dalam baki acara yang disertainya.-UTUSAN

The post Zen Hong pecah rekod SUKMA appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved