Zaffin cemas sebelum rangkul emas

19 Aug 2026 • 7:17 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Zaffin cemas sebelum rangkul emas

SUBANG JAYA: Penembak Pahang, Ahmad Zaffin Kushairie Ahmad Azman mengakui cemas selepas dikenakan kad merah dan disingkirkan seketika sebelum kembali beraksi untuk merangkul emas acara 50 meter (m) raifal 3 Posisi lelaki pada Sukan Malaysia (SUKMA) Selangor 2026, di Lapang Sasar Menembak Kebangsaan, Subang Jaya sebentar tadi.

Lebih manis, atlet berusia 21 tahun itu menutup penampilan terakhirnya di pentas SUKMA dengan kejayaan apabila mengumpul 343.9 mata untuk menewaskan rakan sepasukan, Muhd Iman Syahmi Mohd Azidi yang meraih perak dengan 342.6 mata, manakala gangsa milik wakil Negeri Sembilan, Muhammad Azman Mohd Ridzuan dengan 333.1 mata.

Zaffin berkata, insiden berkenaan berlaku selepas dia terlupa memasang bendera keselamatan pada senjatanya ketika sedang mengejar masa untuk membuat persediaan.

“Awal-awal saya agak berdebar sebab pesaing pun kuat-kuat. Memang menakutkan juga, tetapi bila ada rasa takut itu saya cuba kawal emosi, kemudian fokus pada tugas.

“Saya kejar masa untuk membuat persediaan dan cuba mengawal degupan jantung. Ketika itu saya fokus kepada pernafasan dan masuk ke posisi, jadi saya terlupa untuk memasang safety flag,” katanya.

Menurut Zaffin, keputusan untuk kembali beraksi selepas diberikan peluang berbuat demikian menjadi titik perubahan apabila dia lebih berhati-hati untuk memastikan segala prosedur dipatuhi sebelum meneruskan saingan.

“Memang sedih apabila hilang kelayakan sebab ini SUKMA terakhir saya dan saya memang ada sasaran untuk acara individu 3 Posisi ini.

“Alhamdulillah, terima kasih kepada jurulatih dan negeri lain yang membuat bantahan. Selepas dapat masuk semula, saya buat betul-betul dan alhamdulillah rezeki saya untuk menang emas,” katanya.

Mengakhiri penampilan SUKMA, Zaffin mahu mengalihkan fokus kepada pasukan kebangsaan dengan sasaran utama memburu tiket ke Sukan SEA 2027 yang bakal berlangsung di Malaysia.

“Insya-Allah selepas ini saya akan fokus kepada pasukan kebangsaan dan cuba melayakkan diri ke Sukan SEA 2027 di Malaysia,” katanya. – UTUSAN

The post Zaffin cemas sebelum rangkul emas appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved