Zetrix AI belum tetapkan tarikh pembayaran dividen 2.89 sen kepada pemegang saham terjejas

LocalBusiness & Finance
12 Nov 2026 • 9:00 AM MYT
DagangNews.com
DagangNews.com

Berita bisnes anda

Zetrix AI belum tetapkan tarikh pembayaran dividen 2.89 sen kepada pemegang saham terjejas Image from: Zetrix AI belum tetapkan tarikh pembayaran dividen 2.89 sen kepada pemegang saham terjejas sarah12/11/2026 - 09:00 Oleh SARAH NADLIN ROHIM editor@dagangnews.com

KUALA LUMPUR 12 Nov - Pemegang saham tertentu Zetrix AI Berhad masih berdepan ketidakpastian mengenai tarikh penerimaan dividen akhir sebanyak 2.89 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025, susulan pertikaian undang-undang yang belum diselesaikan.

 

Syarikat itu tidak menetapkan tarikh baharu pembayaran dividen kepada pemegang saham terjejas, walaupun prosiding undang-undang antara pendaftar sahamnya dengan seorang bekas pemegang saham utama telah ditarik balik pada 11 November 2026.

 

Menurut makluman kepada Bursa Malaysia, penarikan balik prosiding berkaitan injunksi interim dan penghakiman persetujuan itu dibuat selepas bekas pemegang saham utama terbabit memulakan tindakan undang-undang berasingan terhadap individu yang bertindak sebagai penama sahamnya.

 

Zetrix AI menjelaskan bahawa pembayaran dividen kepada pemegang saham yang terjejas akan terus ditahan sehingga prosiding baharu antara bekas pemegang saham utama dan pemegang saham terbabit diselesaikan.

 

Walaupun bukan pihak dalam pertikaian itu, syarikat mengambil pendekatan berhati-hati bagi mengelakkan sebarang kemungkinan yang boleh menjejaskan kepentingannya.

 

Pembayaran dividen masih menjadi perhatian

Perkembangan itu berlaku ketika Bursa Malaysia menetapkan 23 November 2026 sebagai tarikh akhir untuk Zetrix AI menyelesaikan pembayaran dividen tertunggak kepada pemegang saham yang tidak terjejas oleh pertikaian undang-undang.

 

Bagaimanapun, arahan berkenaan tidak bermakna pembayaran kepada pemegang saham yang terlibat dalam pertikaian tersebut akan diselesaikan pada tarikh sama, memandangkan pembayaran mereka masih bergantung kepada keputusan prosiding undang-undang.

 

Pertikaian itu berkaitan pelan pelaburan semula dividen (DRP), yang membolehkan pemegang saham layak memilih untuk menerima saham baharu sebagai ganti pembayaran dividen tunai, tertakluk kepada syarat pelan.

 

Setakat pengumuman terbaharu, Zetrix AI tidak memperincikan jumlah keseluruhan dividen yang masih ditahan, bilangan pemegang saham yang terjejas atau jangka masa penyelesaian pertikaian berkenaan.

 

Syarikat memaklumkan bahawa sebarang perkembangan penting berkaitan perkara tersebut akan diumumkan dari semasa ke semasa sekiranya perlu.- DagangNews.com

Terkini standard
Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved