johardy06/11/2026 - 18:21 Oleh JOHARDY IBRAHIM editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 6 Nov - Bursa Malaysia Securities Berhad mengarahkan Zetrix AI Berhad mendedahkan maklumat material mengenai kedudukan kewangannya selewat-lewatnya pada 11 November 2026 serta mematuhi keperluan pembayaran dividen akhir 2025 yang belum dibayar selewat-lewatnya pada 23 November 2026.
Pengawal selia pasaran itu menegaskan pihaknya memandang serius perkembangan terkini dalam Zetrix, termasuk wang kutipan yang masih belum diserahkan kepada Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), tuntutan pembayaran serta peletakan jawatan semua pengarah bebas dan juruaudit luar.
Menurut Bursa Securities, kebimbangannya turut merangkumi kegagalan membayar dividen akhir 2025 serta penarikan balik dividen interim 2026 yang telah diisytiharkan.
Turut diberi perhatian ialah kedudukan kewangan semasa Zetrix, termasuk wang kutipan tertunggak kepada JPJ serta tuntutan pembayaran yang diterima daripada JPJ dan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN).
Bursa Securities turut membangkitkan penerbitan Skim Opsyen Saham Pekerja (ESOS) dalam senarai perkara yang perlu dijawab oleh syarikat itu.
Zetrix juga dikehendaki mendedahkan kesan kewangan dan operasi akibat penggantungan syarikat itu serta anak syarikatnya sebagai ejen kutipan JPJ.
Dua arahan dengan tarikh akhir pematuhan
Bursa Securities mengeluarkan dua arahan tersebut pada hari ini dengan menggunakan kuasanya di bawah Perenggan 2.23 Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama bagi melindungi kepentingan pelabur, memastikan penyebaran maklumat material tepat pada masanya serta menggalakkan pasaran yang bermaklumat, adil dan teratur.
Arahan pertama mewajibkan Zetrix mematuhi keperluan pembayaran dividen di bawah Perenggan 8.26 berhubung dividen akhir 2025 yang belum dibayar selewat-lewatnya pada 23 November 2026.
Arahan kedua mewajibkan syarikat itu mendedahkan maklumat material bagi menjawab perkara yang dibangkitkan Bursa Securities mengikut Perenggan 9.03 selewat-lewatnya pada 11 November 2026.
Bursa Securities menegaskan pihaknya memandang serius pematuhan terhadap Keperluan Penyenaraian dan syarikat tersenarai dikehendaki menjunjung standard tadbir urus korporat, ketelusan serta kebertanggungjawaban yang tinggi pada setiap masa.
Sebelum mengambil tindakan penguatkuasaan, Bursa Securities perlu memastikan semua fakta dan keadaan berkaitan diperiksa secara menyeluruh, bukti yang menyokong sebarang dapatan pelanggaran dinilai dengan teliti serta keperluan prosedur yang terpakai dipenuhi.
Penentuan bahawa sesuatu pelanggaran telah berlaku tidak mengetepikan keperluan proses sewajarnya, tegasnya. Sebarang keputusan penguatkuasaan mesti mempunyai asas yang kukuh, disokong alasan yang jelas dan mampu bertahan apabila diteliti.
Jika pelanggaran dibuktikan, Bursa Securities boleh mengambil tindakan kawal selia yang sewajarnya termasuk prosiding penguatkuasaan, tertakluk kepada perlindungan prosedur tersebut.
Penilaian kawal selia, siasatan dan urusan libat urus turut tertakluk kepada proses sewajarnya serta keperluan kerahsiaan, kata Bursa Malaysia. - DagangNews.com






