
Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) memulakan siasatan terhadap Zetrix AI dan MyEG. Ini berikutan Kementerian Pengangkutan menggantung kedua-dua syarikat sebagai ejen kutipan JPJ kerana gagal gagal menyerahkan RM314 juta kutipan JPJ yang dikumpul antara Mei hingga September walaupun telah beberapa kali diingatkan.

SPRM tidak mendedahkan butiran aduan atau siapa yang membuat laporan. Kes tersebut dikatakan melibatkan kesalahan yang berada di bawah bidang kuasa polis. SPRM dan PDRM akan bekerjasama berkongsi maklumat. Sekiranya PDRM menemui unsur rasuah, bukti berkenaan akan dirujuk kepada SPRM untuk tindakan selanjutnya.
MyEG melakukan perubahan nama kepada Zetrix AI tahun lalu bagi memperlihatkan fokus syarikat kepada arena kecerdasan buatan (AI), dan juga penggunaan rantaian-blok Zetrix yang memfokuskan kepada penggunaan aplikasi dunia sebenar.
Antara produk AI yang ditawarkan ialah NurAI, chatbot yang menjawab persoalan agama dan PMX AI, avatar Perdana Menteri yang menjawab soalan menerusi WhatsApp. PMX AI kini tidak lagi berfungsi selepas kurang sehari dilancarkan berikutan jawapan kontroversi yang diberikan.






