hamden17/11/2026 - 15:40 KUALA LUMPUR 17 Nov – Zetrix AI Bhd memperoleh perintah sementara Mahkamah Tinggi bagi menghalang Macquarie Bank Ltd dari Australia daripada menyampaikan petisyen penggulungan terhadap syarikat teknologi itu berhubung tunggakan pembayaran dividen berjumlah RM2.06 juta.
Hakim Mahkamah Tinggi, Wan Muhammad Amin Wan Yahya, memberikan injunksi ex parte itu pada Selasa, manakala pendengaran antara pihak bagi permohonan berkenaan ditetapkan pada 1 Disember ini.
Menurut laporan The Edge yang memetik dokumen mahkamah, Zetrix AI memfailkan saman pemula pada 10 November lalu bagi mendapatkan injunksi untuk menghalang bank berkenaan, pekerja dan ejennya daripada menyampaikan petisyen penggulungan terhadap syarikat itu.
Tuntutan tersebut membabitkan hutang berjumlah RM2,061,177.07 yang berpunca daripada pelan pelaburan semula dividen bertarikh 26 Ogos 2026, yang masih belum mampu dibayar oleh Zetrix AI.
Peguam yang mewakili Zetrix AI, Eric Tan daripada Tetuan Eric Tan, mengesahkan perkara itu kepada The Edge.
Berdasarkan dokumen mahkamah, Zetrix AI berkata syarikat itu menerima notis undang-undang daripada Macquarie yang mendakwa sebagai pemilik benefisial sebanyak 71,321,006 saham biasa yang dipegang menerusi Citigroup Nominees (Asing) Sdn Bhd.
Artikel berkaitan: Zetrix mohon halang Macquarie Bank fail petisyen gulung tikar berhubung dividen RM2.06 juta
Terima dividen secara tunai
Notis itu menyatakan Macquarie memilih untuk menerima dividen secara tunai dan bukannya melaburkannya semula dalam saham baharu menerusi pelan pelaburan semula dividen bertarikh 26 Ogos.
Berdasarkan kadar dividen 2.89 sen sesaham, jumlah pembayaran tunai yang perlu dibuat ialah RM2,061,177.07 dan sepatutnya dibayar selewat-lewatnya pada 18 September 2026.
Zetrix AI kemudian menangguhkan pembayaran itu kepada 28 September, namun jumlah berkenaan masih belum dijelaskan.
Notis undang-undang yang dikeluarkan di bawah Seksyen 466 Akta Syarikat 2016 itu merupakan tuntutan berkanun yang menghendaki syarikat melunaskan hutang yang tidak dipertikaikan dalam tempoh 21 hari.
Bagaimanapun, Zetrix AI berhujah bahawa Macquarie tidak berhak menerima pembayaran dividen berkenaan kerana Citigroup Nominees merupakan pemegang saham berdaftar. Macquarie disenaraikan di Bursa Sekuriti Australia.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada 13 November lalu, Zetrix AI berkata dividen akhir tertunggak sebanyak 2.89 sen sesaham bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 membabitkan 25 akaun Sistem Depositori Pusat (CDS) dengan jumlah keseluruhan RM49.76 juta.
Syarikat itu berkata lembaga pengarah sedang mendapatkan pandangan undang-undang bebas berhubung litigasi berkaitan pelan pelaburan semula dividen berkenaan.
Zetrix AI turut berpendapat penahanan pembayaran yang terjejas adalah wajar sementara syarikat menentukan tindakan seterusnya.
Bursa Malaysia telah mengarahkan Zetrix AI menjelaskan semua dividen tunai tertunggak selewat-lewatnya pada 23 November ini. - DagangNews.com





