Zetrix AI peroleh injunksi halang Macquarie fail penggulungan

LocalBusiness & Finance
17 Nov 2026 • 3:00 PM MYT
Utusan Online
Utusan Online

Berita terkini, tepat dan dipercayai daripada Utusan Malaysia

Image from: Zetrix AI peroleh injunksi halang Macquarie fail penggulungan

KUALA LUMPUR: Zetrix AI Berhad (Zetrix) memperoleh perintah injunksi interim bagi menghalang bank pelaburan Australia, Macquarie Bank Limited (Macquarie) daripada memfailkan tindakan penggulungan terhadap syarikat berkenaan.

Permohonan injunksi itu dibuat susulan pertikaian membabitkan tuntutan bayaran dividen tertunggak berjumlah RM2,061,177.07 yang dikemukakan oleh Macquarie.

Keputusan itu dibuat Hakim Mahkamah Tinggi, Wan Muhammad Amin Wan Yahya selepas membenarkan permohonan injunksi secara sebelah pihak (ex-parte) yang difailkan oleh syarikat penyedia perkhidmatan digital tersebut.

Peguam, Eric Tan yang mewakili Zetrix bersama Yoon Han Jung ketika dihubungi mengesahkan perkara tersebut.

Mahkamah turut menetapkan pendengaran bagi permohonan secara antara pihak (inter-partes) pada 1 Disember ini.

Menurut dokumen mahkamah yang diperoleh media, Macquarie mendakwa berhak menerima dividen di bawah Pelan Pelaburan Semula Dividen Zetrix bertarikh 26 Ogos lalu selaku pemilik benefisial bagi lebih 71.3 juta unit saham dalam syarikat berkenaan.

Namun, kegagalan menerima pembayaran yang sepatutnya dilunaskan pada 18 September sebelum ditangguhkan ke 28 September itu mendorong Macquarie mengeluarkan notis tuntutan rasmi bertarikh 27 Oktober dengan tempoh 21 hari untuk menjelaskan bayaran.

Bagaimanapun, Zetrix dalam hujahan bertulisnya membantah tuntutan itu atas alasan saham berkenaan didaftarkan atas nama syarikat penama, Citigroup Nominees (Asing) Sdn. Bhd. dan bukannya nama Macquarie.

Ia yang mana dari sudut undang-undang, dividen hanya perlu dibayar kepada pemegang saham berdaftar, sekali gus menafikan mempunyai sebarang hutang tertunggak dengan bank berkenaan.

Sebelum ini, Zetrix yang dahulunya dikenali sebagai MyEG Services Bhd. turut berdepan isu berasingan apabila Kementerian Pengangkutan menggantung pelantikannya bersama anak syarikat, My EG Sdn. Bhd. sebagai ejen kutipan hasil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).

Tindakan penggantungan berkuat kuasa 5 Oktober lalu itu diambil susulan kegagalan syarikat berkenaan menyerahkan kutipan hasil kerajaan berjumlah RM314 juta bagi tempoh 19 Mei hingga 30 September. – UTUSAN

The post Zetrix AI peroleh injunksi halang Macquarie fail penggulungan appeared first on Utusan Malaysia.

Newswav Malaysia Best News App

Newswav is an online content aggregator and obtains its content from different online sources. The content in the app do not belong to Newswav nor do they reflect the opinions of Newswav and its staff. Your use of this app indicates your understanding and acceptance of this information.

Newswav Sdn. Bhd. (201701008480 (1222645-M)) 2026 All Rights Reserved