johardy17/11/2026 - 08:00 Oleh Muhammad Iman editor@dagangnews.com KUALA LUMPUR 17 Nov - Zetrix AI Berhad mencadangkan bayaran RM100 juta terlebih dahulu dan melunaskan baki tunggakan RM214 juta dalam tempoh enam bulan bagi membolehkannya dilantik semula sebagai ejen kutipan hasil Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Timbalan Menteri Pengangkutan, Hasbi Habibollah berkata, syarikat itu mengemukakan cadangan berkenaan menerusi surat kepada kementeriannya bertarikh 5 Nov, dengan menawarkan pembayaran baki tunggakan secara enam ansuran bulanan sama rata sebanyak RM35.67 juta.
Cadangan itu dikemukakan kepada Kementerian Kewangan pada 10 Nov, katanya di Dewan Rakyat, menurut laporan Bernama.
Hasbi berkata, terma perjanjian menetapkan penalti RM29 juta bagi tunggakan pembayaran tersebut.
JPJ menggantung MyEG Sdn Bhd dan Zetrix, yang sebelum ini dikenali sebagai MyEG Services Berhad, sebagai ejen kutipan fi dan saman selepas didapati kedua-duanya mempunyai tunggakan ratusan juta ringgit kepada jabatan itu sejak Mei.
Notis tuntutan dan tindakan mahkamah
Hasbi berkata, penasihat undang-undang Kementerian Pengangkutan akan mengeluarkan notis tuntutan kepada Zetrix selepas mendapatkan pandangan Jabatan Peguam Negara.
Tindakan mahkamah akan menyusul sekiranya pembayaran tidak dibuat dalam tempoh ditetapkan, katanya.
“Notis tuntutan tidak akan dikeluarkan dan tindakan mahkamah tidak akan diambil sekiranya kerajaan bersetuju dengan cadangan Zetrix,” katanya.
Hasbi turut memaklumkan JPJ memberikan kerjasama penuh kepada polis dan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia dalam siasatan mereka.
Masalah kewangan Zetrix turut melibatkan obligasi sukuk apabila syarikat itu mengakui dalam makluman kepada Bursa Malaysia pada 13 Nov, ia tidak mampu membayar keseluruhan baki tertunggak RM2 bilion di bawah program Sukuk Wakalah pada ketika itu.
Jualan paksa saham cetus pelanggaran syarat sukuk
Terdahulu, jualan paksa saham oleh bank menyebabkan Pengarah Urusannya, Wong Thean Soon, tidak lagi menjadi pemegang saham tunggal terbesar syarikat. Keadaan itu mencetuskan pelanggaran syarat program sukuk yang mewajibkan beliau mengekalkan kedudukan tersebut.
Pada 6 Nov, Zetrix gagal melunaskan obligasi RM25 juta yang matang pada hari itu, menyebabkan MARC Ratings menurunkan penarafan program sukuknya kepada Dᵢₛ, iaitu status mungkir, dan menghentikan liputan analisis terhadap syarikat.
Dalam makluman pada 13 Nov, Zetrix berkata, ia sedang menyediakan wang tunai bagi menyelesaikan tunggakan JPJ. Langkah itu merangkumi penangguhan beberapa projek pembangunan serta penarikan balik pembayaran dividen interim 2026 bagi mengekalkan modal kerja untuk memenuhi komitmennya. — DagangNews.com






